
TEHRAN, 24 Februari – Sebuah helikopter milik Tentera Udara Iran terhempas di sebuah pasar buah-buahan di wilayah tengah Isfahan pada Selasa, mengorbankan empat individu, menurut laporan media rasmi negara itu.
- Helikopter milik Tentera Udara Iran terhempas di pasar buah-buahan di Isfahan, menyebabkan empat maut.
- Kematian melibatkan juruterbang, pembantu juruterbang dan dua peniaga buah yang berada di lokasi.
- Insiden dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada pesawat.
- Kesukaran mendapatkan alat ganti dan armada pesawat yang menua dilihat menyumbang kepada kejadian serupa.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, mangsa yang maut ialah juruterbang, pembantu juruterbang serta dua peniaga buah yang berada di lokasi kejadian.
Insiden berlaku di bandar Khomeynishahr, wilayah Isfahan, dan dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada pesawat berkenaan.
Iran yang berdepan sekatan antarabangsa, sebelum ini beberapa kali dilaporkan mengalami insiden kemalangan udara. Pihak berkuasa negara itu menyatakan kesukaran mendapatkan alat ganti bagi menyelenggara armada pesawat yang semakin berusia antara faktor menyumbang kepada kejadian seumpama itu.
Khamis lalu, sebuah jet pejuang Iran turut terhempas ketika menjalani latihan penerbangan lewat malam di wilayah Hamedan, mengakibatkan seorang daripada dua juruterbang di dalam pesawat terbunuh.-AFP