Empat angkasawan tiba di ISS selepas kepulangan awal kru terdahulu

Foto AFP

NEW YORK, 15 Februari -Empat angkasawan tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas NASA membawa pulang kru terdahulu lebih awal disebabkan masalah perubatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat angkasawan Kru 12 tiba di ISS menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon selepas berlepas dari Cape Canaveral.
  • Kru termasuk angkasawan NASA Jessica Meir, Jack Hathaway, Rusia Andrey Fedyaev dan Perancis Sophie Adenot.
  • Kedatangan menyusul kepulangan awal Kru 11 kerana masalah perubatan; kru baru dijangka tinggal kira-kira lapan bulan.

Keempat-empat angkasawan Kru 12 mendarat di ISS menggunakan kenderaan angkasa SpaceX Crew Dragon, menurut imej langsung yang dikeluarkan NASA pada Sabtu. Mereka berlepas dari Cape Canaveral, Florida pada Jumaat.

Kru 12 terdiri daripada angkasawan NASA Jessica Meir dan rakan sekerjanya Jack Hathaway, angkasawan Rusia Andrey Fedyaev serta angkasawan Perancis Sophie Adenot dari Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Ia merupakan misi pertama ke ISS bagi Hathaway dan Adenot, manakala Meir dan Fedyaev masing-masing merupakan penerbangan kedua mereka.

Kru ini dijangka menghabiskan kira-kira lapan bulan tinggal dan menjalankan penyelidikan di stesen angkasa tersebut.

Pada pertengahan Januari, Kru 11 – angkasawan AS Zena Cardman dan Michael Fincke, angkasawan Jepun Kimiya Yui dan angkasawan Rusia Oleg Platonov – pulang ke Bumi lebih awal kerana masalah perubatan. Ini merupakan kali pertama kejadian seumpamanya berlaku dalam sejarah stesen itu. NASA tidak mendedahkan butiran masalah tersebut atau anggota kru yang terjejas.

Satu penyerahan tugas antara kedua-dua kru pada asalnya dirancang, seperti amalan biasa di ISS. Sebaliknya, angkasawan NASA Christopher Williams dan angkasawan Rusia Sergei Mikaev serta Sergey Kud-Sverchkov kekal di stesen dalam beberapa minggu kebelakangan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Kru antarabangsa telah tinggal dan menjalankan penyelidikan di stesen angkasa itu secara berterusan selama kira-kira 25 tahun. – BERNAMA