
KUALA LUMPUR, 12 April – Dunia kini menaruh harapan agar rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) dapat dipulihkan segera selepas siri rundingan yang ditaja oleh Pakistan pada Sabtu menemui jalan buntu.
- Kegagalan rundingan menjejaskan kestabilan serantau dan mendedahkan kebimbangan tindakan unilateral kuasa besar tanpa kawalan undang-undang antarabangsa.
- Ketiadaan imbangan kuasa berkesan melemahkan pencegahan, memberi ruang kepada tindakan ketenteraan terhadap negara berdaulat.
- Tindakan ketenteraan AS dan Israel dicap sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa; Iran mungkin bertindak balas agresif, mengganggu gencatan senjata rapuh.
Kegagalan rundingan tersebut bukan sahaja menjejaskan kestabilan serantau, malah mencetuskan kebimbangan mendalam terhadap kecenderungan kuasa besar dunia bertindak secara unilateral tanpa sekatan undang-undang antarabangsa.
Penganalisis Keselamatan dan Politik UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Nordin menegaskan, situasi berkenaan memperlihatkan ketiadaan imbangan kuasa yang berkesan bagi mengekang tindakan ketenteraan terhadap negara berdaulat.
“Dan ia juga membawa satu keadaan di mana dunia melihat kuasa unileteral oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat mampu melakukan apas saja tanpa sebarang bentuk “Deterrence” (pencegahan) atau keseimbangan kuasa mengekang kuasa besar menggunakan peperangan terhadap negara lain seperti yang berlaku terhadap Iran”, katanya ketika ditemubual RTM hari ini.
Tindakan ketenteraan berterusan oleh AS dan sekutunya, Israel, disifatkan sebagai pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Menurut beliau, penindasan ini secara tidak langsung memaksa Iran untuk bertindak balas dengan lebih agresif demi mempertahankan kedaulatan negaranya.
“Dan sekiranya ia berterusan, ia akan menganggu satu kesimbangan halatuju keamanan dunia hari ini.
“Dan iran sudah tentu akan melebarkan corak serangannya yang akan menjadi strategi peperangan mereka bagi memastikan mereka juga mampu memberikan keseimbangan dari segi isu berkepentingan negara Iran terhadap elemen peperangan yang berlaku hari ini”, ujarnya.
Terdahulu, rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran yang diadakan di Islamabad berakhir dengan kegagalan selepas masing-masing gagal mencapai persetujuan selepas 21 jam perundingan.
Kegagalan itu sekali gus menjejaskan gencatan senjata rapuh selama dua minggu.