Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Foto fail/ AFP

GAZA, 27 Februari – Dua rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan udara Israel di timur Gaza, menurut laporan media Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan korban akibat pengeboman Israel mencerminkan pengabaian terhadap usaha pengantara, kata jurucakap Hamas.
  • Operasi ketenteraan Israel masih diteruskan di Gaza, menambah penderitaan rakyat Palestin tanpa perubahan signifikan.
  • Keganasan juga meningkat di Tebing Barat dengan serangan peneroka dan tentera, menyebabkan kecederaan dan penahanan.

Saksi kejadian memaklumkan sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sekumpulan rakyat Palestin yang berada di sebuah taman di kawasan kejiranan Tuffah, timur Gaza.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, berkata peningkatan berterusan jumlah korban akibat pengeboman Israel di seluruh Gaza mencerminkan pengabaian secara terang-terangan Israel terhadap usaha pengantara.

Beliau berkata tentera Israel masih meneruskan operasi kententeraan di Gaza dan sebarang perubahan tidak meringankan penderitaan rakyat Palestin di wilayah itu.

Beliau menyifatkan kenyataan beberapa negara mengenai gencatan senjata sebagai tidak sesuai dengan keadaan sebenar di Gaza.

Sejak 7 Oktober 2023, lebih 72,000 rakyat Palestin terbunuh dan 171,761 cedera, manakala sejak gencatan senjata 10 Oktober tahun lalu, 618 maut dan 1,663 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Keganasan meningkat di Tebing Barat apabila peneroka dan tentera Israel menyerang rumah rakyat Palestin, menyebabkan ramai cedera atau ditahan, lapor agensi berita rasmi Palestin, WAFA.-REUTERS