Dua anggota pengaman PBB dari Indonesia maut di selatan Lubnan

FOTO AFP

BEIRUT, 31 Mac – Dua anggota pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) terbunuh dalam satu letupan di selatan Lubnan, menjadikan insiden kedua dalam tempoh 24 jam ketika konflik antara Israel dan Hezbollah semakin memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • UNIFIL melancarkan siasatan terhadap insiden yang meragut nyawa anggota pengaman.
  • Tentera Lubnan lapor seorang anggota terbunuh dalam serangan Israel; sumber keselamatan kata tiga anggota Hezbollah maut.
  • Pihak berkuasa Lubnan laporkan lebih 1,200 orang terbunuh sejak konflik tercetus.
  • Jean-Pierre Lacroix kecam serangan dan desak hentikan tindakan yang membahayakan pengaman; gesaan gencatan senjata dan diplomasi diperkuat.

UNIFIL memaklumkan kedua-dua mangsa merupakan anggota dari Indonesia yang maut selepas kenderaan mereka musnah akibat letupan yang puncanya masih belum dikenal pasti, manakala dua lagi anggota cedera termasuk seorang dalam keadaan serius.

Dalam perkembangan sama, tentera Lubnan memaklumkan seorang anggotanya turut terbunuh dalam serangan Israel di selatan negara itu, manakala sumber keselamatan melaporkan tiga anggota Hezbollah maut dalam serangan di pinggir selatan Beirut.

Ketegangan memuncak sejak awal Mac apabila Hezbollah melancarkan roket ke Israel susulan konflik melibatkan Iran, yang kemudiannya dibalas dengan serangan meluas Israel termasuk operasi darat di selatan Lubnan.

Sehingga kini, pihak berkuasa Lubnan melaporkan lebih 1,200 orang terbunuh sejak konflik tercetus, manakala UNIFIL telah melancarkan siasatan terhadap insiden yang meragut nyawa anggota pengaman itu.

Setiausaha Agung Bahagian Operasi Keamanan PBB, Jean-Pierre Lacroix, mengutuk keras serangan tersebut dan menegaskan semua tindakan yang membahayakan pasukan pengaman mesti dihentikan segera.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun, turut mengecam serangan itu dan menyeru usaha diplomatik dipergiat bagi menghentikan konflik, sementara penyelaras khas PBB untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert, menggesa gencatan senjata segera bagi mengelakkan kemusnahan berterusan.-AFP