Demam babi Afrika merebak ke luar zon kawalan Sepanyol

Foto hiasan AFP

BARCELONA, 13 Februari- Demam babi Afrika dikesan di luar zon kawalan di wilayah Catalonia, timur laut Sepanyol, buat pertama kali sejak wabak itu dilaporkan pada November.

RINGKASAN BERITA AI
  • 13 kes baharu demam babi Afrika dilaporkan, termasuk dua kes di luar zon kawalan dekat Barcelona.
  • Zon berisiko tinggi diperluas dan akses ke hutan dihadkan untuk mengelakkan penularan lanjut.
  • Lebih 100 kes pada babi hutan, tiada penularan dikesan ke ladang babi domestik setakat ini.

Virus itu tidak berbahaya kepada manusia namun hampir sentiasa membawa maut kepada haiwan berkenaan, selain menjejaskan eksport Sepanyol yang merupakan pengeluar ketiga terbesar daging babi dan produk berkaitannya di dunia.

Jabatan Pertanian Catalonia memaklumkan 13 kes baharu dikesan dalam kumpulan haiwan itu termasuk dua kes di luar zon kawalan sejauh enam kilometer berhampiran Barcelona.

Susulan itu, pihak berkuasa memperluas zon berisiko tinggi ke kawasan perbandaran terjejas dan mengehadkan akses ke hutan berhampiran bagi mengelakkan penularan lanjut.

Wabak tersebut merupakan kes pertama dilaporkan di Sepanyol sejak 1994 dan lebih 100 kes kini dikesan dalam kalangan babi hutan, walaupun belum merebak ke ladang babi domestik.

Menteri Pertanian Wilayah, Oscar Ordeig berkata; “Sekarang lebih penting untuk kita terus berhati-hati dan tidak leka terhadap penyakit ini.”

Punca wabak masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan. -AFP