
ISLAMABAD, 11 April – Delegasi kerajaan Iran bertemu dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini bagi membincangkan syarat-syarat rundingan ‘jaya atau gagal’ bagi menamatkan perang di Asia Barat dengan wakil Amerika Syarikat (AS) yang diketuai Naib Presiden, JD Vance.
- Iran menuntut pembubaran aset yang dibekukan dan penghentian perang Israel terhadap Hizbullah sebagai syarat penamatan kekal.
- Vance menyatakan tuntutan itu tidak akan dibincangkan di Islamabad.
- Pihak bertelagah masih belum sependapat mengenai sekatan Lubnan dan pembukaan Selat Hormuz.
- Pemimpin Iran nyatakan ketidakpercayaan terhadap AS; Vance sedia runding jika niat baik, tetapi memberi amaran.
Media Iran melaporkan, keputusan pertemuan yang diadakan di Hotel Serena Islamabad itu akan diketahui pada akhir perbincangan sama ada untuk meneruskan rundingan dengan Amerika atau sebaliknya.
Terdahulu, Iran menyatakan bahawa sebarang perjanjian mengenai penamatan pertempuran secara kekal mesti merangkumi pembubaran asetnya yang disekat dan penamatan perang Israel ke atas Hizbullah di Lubnan, yang menurut Vance tidak akan dibincangkan di Islamabad.
Iran diwakili Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf selamat tiba semalam dan disambut Ketua Tentera Pakistan yang berkuasa, Asim Munir.
Munir, turut menyambut Vance, yang tiba di pangkalan udara Nur Khan, tempat utusan khas AS Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner, sedang menunggu.
Pihak-pihak yang bertelagah masih tidak bersependapat dalam isu-isu utama — termasuk sekatan Lubnan dan pembukaan Selat Hormuz yang strategik.
“Pengalaman kami dalam berunding dengan Amerika Syarikat sentiasa menemui kegagalan dan janji yang dimungkiri,” kata Ghalibaf sejurus selepas mendarat, menurut penyiar negeri Iran.
Menteri Luar Abbas Araghchi, yang juga sebahagian daripada delegasi itu, memberitahu rakan sejawatnya dari Jerman dalam satu panggilan pada hari Sabtu bahawa “Iran memasuki rundingan dengan rasa tidak percaya sepenuhnya kerana pelanggaran komitmen dan pengkhianatan berulang kali oleh Amerika Syarikat”, lapor agensi berita Tasnim.
Vance berkata sebelum meninggalkan AS bahawa jika pihak lawan “bersedia untuk berunding dengan niat baik, kami pasti bersedia untuk menghulurkan tangan terbuka”.
Tetapi “jika mereka akan cuba mempermainkan kami, maka mereka akan menerima padah”, tambahnya.
Gencatan senjata sudah berada dalam tekanan, terutamanya daripada serangan berterusan Israel di Lubnan.
Perdana Menteri Sherif turut akui bahawa rundingan itu tidak mudah. -AFP