Darurat diisytiharkan di New York, New Jersey dan Boston akibat ribut salji

FOTO REUTERS

NEW YORK, 23 Februari – beberapa jaringan jalan raya, jambatan dan lebuh raya di bandar New York ditutup sepenuhnya mulai malam Ahad sehingga Isnin berikutan ribut salji yang melanda Amerika Syarikat bahagian timur laut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan jaringan jalan raya, jambatan dan lebuh raya di New York untuk menangani ribut salji berskala besar.
  • Ramai penduduk dinasihati elak perjalanan kecuali kecemasan kerana salji lebat hingga 60 cm dan angin kuat.
  • New Jersey isytihar darurat untuk mempercepatkan penyaluran dana dan sumber kecemasan.
  • Boston tutup sekolah dan bangunan perbandaran; amaran banjir pesisir dari Delaware hingga Cape Cod.

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani berkata langkah tersebut adalah bagi menghadapi ribut berskala besar dalam tempoh sedekad.

Beliau turut menasihati semua penduduk agar mengelak perjalanan yang tidak penting kecuali perjalanan kecemasan.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), ribut dijangka membawa salji lebat sehingga 60 sentimeter di beberapa kawasan.

Hampir 54 juta penduduk berada dalam laluan ribut itu, dari Washington D.C. hingga ke Maine.

Ribut salji dijangka menyebabkan perjalanan menjadi amat berbahaya atau mustahil, dengan tiupan angin mencecah 100 kilometer sejam lewat Ahad hingga Isnin.

Di New York, jarak penglihatan merosot teruk sehingga bangunan pencakar langit di Wall Street hampir tidak kelihatan dari Brooklyn.

Di New Jersey, Gabenor Mikie Sherrill mengisytiharkan darurat bermula tengah hari Ahad bagi membolehkan dana disalur dan sumber digerakkan dengan segera.

Sementara itu di Boston, Datuk Bandar Michelle Wu mengarahkan semua sekolah awam dan bangunan perbandaran ditutup pada Isnin serta menasihatkan orang ramai supaya kekal berada di rumah.

NWS turut memberi amaran kemungkinan berlaku banjir sederhana hingga besar di kawasan pesisir pantai dari Delaware hingga Cape Cod, Massachusetts, yang boleh menjejaskan jalan tepi laut dan hartanah. – AFP