Cuaca buruk cetus banjir kilat, tanah runtuh di New Zealand

Sebuah kenderaan melalui jalan yang dinaiki air / REUTERS

WELLINGTON, 21 Januari -Cuaca buruk melanda Pulau Utara New Zealand susulan hujan lebat dan angin kencang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca buruk di Pulau Utara disebabkan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.
  • Pihak berkuasa mengarahkan penduduk kawasan rendah dan berisiko tinggi berpindah ke tempat lebih selamat.
  • Beberapa laluan utama ditutup akibat runtuhan tanah dan limpahan sungai menjejaskan pergerakan.
  • MetService keluarkan amaran berbahaya; orang ramai dinasihatkan elak perjalanan dan patuhi arahan keselamatan.

Keadaan itu mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh serta penutupan beberapa laluan utama, hari ini.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk di kawasan rendah dan berisiko tinggi supaya berpindah ke tempat lebih selamat.

Manakala penduduk lain diminta bersedia untuk pemindahan sekiranya keadaan bertambah buruk.

Beberapa jalan utama ditutup akibat runtuhan tanah dan limpahan air sungai, sekali gus menjejaskan pergerakan serta berpotensi mengasingkan beberapa kawasan.

Dalam kejadian berasingan, polis sedang mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus sungai bersama kenderaannya ketika cuba menyeberangi sungai berhampiran Warkworth.

Agensi ramalan cuaca negara, MetService, mengeluarkan amaran cuaca berbahaya di sebahagian besar Pulau Utara, dengan risiko ancaman nyawa akibat paras sungai yang meningkat, banjir besar dan tanah runtuh.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan perjalanan tidak perlu dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa. -REUTERS