Christian Menefee angkat sumpah Ahli Dewan Perwakilan AS

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 3 Februari – Wakil Demokrat, Christian Menefee, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, sekali gus mengurangkan majoriti tipis Parti Republikan dalam dewan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Christian Menefee mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Perwakilan AS, menggugat kelebihan tipis Parti Republikan.
  • Menefee, 37 tahun dan bekas peguam Harris County, memenangi pusingan kedua bagi Daerah Kongres ke-18 Texas.
  • Kemenangan beliau mengubah pengiraan majoriti Republikan kepada 218-214 di Dewan Perwakilan.
  • Tiga kekosongan kerusi lain di Georgia, New Jersey dan California dijangka diisi melalui pilihan raya khas.

Menefee, 37 tahun, bekas peguam Harris County, memenangi pusingan kedua bagi mewakili Daerah Kongres ke-18 Texas, kawasan yang secara tradisinya dikuasai Demokrat dan merangkumi sebahagian besar pusat bandar Houston serta kawasan sekitarnya.

Beliau menewaskan rakan separti, Amanda Edwards, 44 tahun, bekas ahli majlis bandar raya Houston.

Susulan itu, Parti Republikan kini memegang majoriti 218-214 di Dewan Perwakilan, berbanding 218-213 sebelum Menefee memulakan tugas.

Tiga lagi kekosongan kerusi di Georgia, New Jersey dan California dijangka diisi menerusi pilihan raya khas masing-masing pada Mac, April dan Ogos depan.

Tahun lalu, Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson dari Parti Republikan Louisiana, menerima kritikan hebat daripada Demokrat apabila menangguhkan upacara mengangkat sumpah Wakil Adelita Grijalva selepas pilihan raya khas di Arizona.

Grijalva memenangi pilihan raya itu pada September, namun hanya mengangkat sumpah pada pertengahan November. -REUTERS