
BEIJING, 23 Januari– Pengawal Pantai China pada Jumaat mengeluarkan beberapa foto yang didakwa menunjukkan operasi menyelamat selepas menerima laporan sebuah kapal kargo dalam keadaan cemas berhampiran Terumbu Scarborough di Laut China Selatan.
- Foto dikeluarkan menunjukkan operasi menyelamat berhampiran Terumbu Scarborough.
- Anggota pengawal pantai dan pasukan perubatan membantu mangsa yang cedera.
- 17 kru diselamatkan manakala dua disahkan meninggal dunia.
- Filipina dan China mengerahkan kapal serta pesawat untuk operasi bersama.
Imej berkenaan memaparkan anggota pengawal pantai sedang menyelamatkan sekurang-kurangnya seorang mangsa, manakala petugas perubatan memberikan rawatan kepada seorang lelaki yang cedera.
Tentera China memaklumkan seramai 17 kru berjaya diselamatkan manakala dua orang disahkan meninggal dunia.
Operasi tersebut dilaksana selepas pihak berkuasa menerima laporan sekitar pukul 1.30 pagi pada Jumaat, bahawa sebuah kapal kargo asing telah terbalik di perairan berhampiran terumbu berkenaan.
Susulan laporan itu, pihak tentera mengerahkan pesawat untuk operasi pencarian manakala Pengawal Pantai China menghantar dua kapal bagi menjalankan usaha menyelamat.
Menurut Pengawal Pantai Filipina, kapal berkenaan membawa 21 kru warga Filipina.
Pengawal Pantai Filipina turut memaklumkan pihaknya mengerahkan dua kapal dan dua pesawat bagi membantu menyelamatkan kru Filipina daripada sebuah kapal kargo dengan bendera Singapura yang membawa muatan bijih besi dan dalam perjalanan ke bandar Yangjiang di selatan China. -REUTERS