China cadang Xiamen jadi tuan rumah sekretariat perjanjian laut lepas

Foto BERNAMA

NEW YORK,17 Januari – China mencadangkan bandar Xiamen sebagai tuan rumah sekretariat bagi satu perjanjian antarabangsa baharu yang mengawal selia kawasan laut lepas, satu langkah mengejutkan yang mencerminkan hasrat Beijing untuk memperluaskan pengaruhnya dalam tadbir urus alam sekitar global.

RINGKASAN BERITA AI
  • China mencadangkan Xiamen sebagai tuan rumah sekretariat untuk perjanjian antarabangsa menjaga kawasan laut lepas.
  • Pencalonan Xiamen dilihat sebagai langkah penting China untuk membentuk peraturan dan memperluas pengaruh dalam tadbir urus alam sekitar global.
  • Perjanjian itu berfungsi melindungi biodiversiti di perairan antarabangsa di luar zon ekonomi eksklusif negara.
  • Persekutuan badan pembuat keputusan akan bekerjasama dengan organisasi serantau dan global termasuk organisasi perikanan dan Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa.

Misi China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa negara itu telah “memutuskan untuk mengemukakan pencalonan bandar Xiamen bagi menempatkan Sekretariat” perjanjian berkenaan, menurut sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dan dilihat oleh AFP.

Perjanjian tersebut dijadualkan berkuat kuasa secara rasmi pada Sabtu, manakala keputusan mengenai negara tuan rumah sekretariat akan dibuat pada akhir tahun ini.

Sebelum ini, Belgium dan Chile dilaporkan menjadi dua negara utama yang bersaing untuk menempatkan sekretariat organisasi baharu berkenaan.

Pengarah China Climate Hub di Asia Society Policy Institute yang berpangkalan di Washington, Li Shuo, berkata pencalonan Xiamen merupakan satu langkah penting oleh China.

“Ia menandakan niat China untuk membantu membentuk peraturan global,” katanya, sambil menyifatkan langkah itu sebagai “satu pergerakan yang ketara”.

Pengumuman China itu dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa negaranya akan menarik diri daripada 66 organisasi dan perjanjian antarabangsa, melibatkan badan PBB dan bukan PBB.

Antara yang terlibat ialah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), perjanjian induk yang menjadi asas kepada hampir semua perjanjian iklim utama dunia dan telah diratifikasi oleh hampir setiap negara.

Selepas bertahun-tahun tertangguh, perjanjian untuk melindungi laut lepas itu telah disahkan pada September lalu oleh 60 buah negara.

Undang-undang berkenaan bertujuan melindungi kawasan biodiversiti di perairan antarabangsa, iaitu kawasan laut yang terletak di luar zon ekonomi eksklusif sesebuah negara.

Para pencinta alam sekitar menegaskan bahawa lautan, yang kaya dengan kehidupan tumbuhan dan haiwan, menghasilkan kira-kira separuh daripada bekalan oksigen dunia serta memainkan peranan penting dalam usaha mengekang perubahan iklim.

Apabila perjanjian itu mula berkuat kuasa, sebuah badan pembuat keputusan akan ditubuhkan dan perlu bekerjasama dengan pelbagai organisasi serantau dan global yang sedia ada, yang masing-masing mengawasi aspek berbeza berkaitan lautan.

Antara badan tersebut ialah organisasi perikanan serantau dan Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa, yang kini menjadi medan perdebatan antara negara-negara mengenai cadangan peraturan berkaitan industri perlombongan laut dalam, yang dianggap merosakkan alam sekitar.- AFP