
FLORIDA, 28 Mac – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan perhatian apabila secara berseloroh merujuk laluan perkapalan minyak global, Selat Hormuz, sebagai ‘Selat Trump’.
- Rundingan antara AS dan Iran sedang berjalan, berusaha capai kata sepakat.
- Trump mempertimbangkan tindakan ketenteraan, termasuk kemungkinan pencerobohan darat ke Pulau Kharg.
- Beliau mencadangkan kawalan bersama Selat Hormuz dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei.
- Iran kekal menutup laluan kepada AS, Israel; bersedia gerakkan jutaan tentera; penutupan sebagai tindak balas serangan sejak 28 Februari.
Kenyataan itu dibuat ketika berucap pada acara Future Investment di Miami, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Trump menyentuh mengenai rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran di tengah konflik yang semakin memuncak.
“Kami sedang berunding sekarang, dan ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa jika mencapai kata sepakat,” katanya.
Beliau kemudian menambah: “Mereka perlu membuka Selat Trump… maksud saya Selat Hormuz. Maaf.”
Trump turut menyindir laporan media dengan menyatakan kenyataannya itu bukan satu kesilapan.
Kenyataan tersebut hadir ketika Washington terus mendesak Tehran supaya membuka laluan strategik berkenaan.
Malah, Trump dilaporkan mempertimbangkan tindakan ketenteraan termasuk kemungkinan pencerobohan darat ke Pulau Kharg sekiranya akses laluan itu terus disekat.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump juga mencadangkan agar Selat Hormuz dikawal secara bersama dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, sebagai sebahagian daripada usaha meredakan konflik.
Namun, Iran kekal dengan pendirian untuk menutup laluan tersebut kepada Amerika Syarikat, Israel serta negara-negara yang menyokong mereka.
Tehran turut dilaporkan bersiap sedia menggerakkan jutaan tentera sekiranya berlaku pencerobohan ke Pulau Kharg.
Penutupan Selat Hormuz adalah tindak balas Iran terhadap serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu.