Budaya kekebalan punca konflik, GSF bangkitkan mobilisasi global

Foto BERNAMA

BARCELONA, 13 April – Global Sumud Flotilla (GSF) digerakkan sebagai respons terhadap budaya kekebalan yang dilihat menjadi punca konflik di Gaza terus berlarutan tanpa tindakan tegas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kegagalan tindakan menyebabkan keganasan berterusan, bantuan disekat dan tanah Palestin dirampas, sementara penduduk Gaza terus menjadi korban.
  • Flotila bertujuan menggerakkan komuniti antarabangsa bertindak dan menegaskan Gaza tidak bersendirian mengikut seruan rakyat Palestin.
  • Solidariti global dilihat penting, analogi dengan perjuangan menentang apartheid Afrika Selatan untuk kejayaan hak asasi.
  • GSF 2.0 melibatkan lebih 80 kapal dan ribuan peserta dari lebih 70 negara, menumpukan kesedaran dan tindakan dunia.

Aktivis kemanusiaan dari Brazil, Thiago Ávila berkata, kegagalan mengambil tindakan terhadap krisis di Gaza membolehkan keganasan berterusan walaupun gencatan senjata didakwa berlaku.

“Penduduk di Gaza terus menjadi korban, bantuan masih disekat dan tanah Palestin terus diambil alih.

“Ketiadaan hukuman dan kebertanggungjawaban memberi ruang kepada pihak tertentu bertindak tanpa sekatan,” katanya ketika melakukan persiapan akhir sebelum memulakan misi berkenaan, di sini.

Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja menjejaskan Gaza, malah berpotensi mencetuskan peluasan konflik ke kawasan lain seperti Iran dan Lubnan.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan wujudnya agenda dominasi yang perlu ditangani secara menyeluruh di peringkat global.

“Sehubungan itu, flotila digerakkan bagi menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk bertindak. Misi ini merupakan respons kepada seruan rakyat Palestin agar dunia mengetahui bahawa Gaza tidak bersendirian,” ujarnya.

Beliau berkata, masih terdapat tanggapan bahawa situasi di Gaza telah selesai, sedangkan krisis itu berterusan.

Thiago turut membandingkan keadaan itu dengan perjuangan menentang apartheid di Afrika Selatan yang hanya berjaya melalui solidariti global.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat kritikan terhadap misi berkenaan, namun menegaskan flotila hanyalah sebahagian daripada usaha kolektif yang lebih luas dan bukan satu-satunya penyelesaian.

“Kita melihat mobilisasi ini membawa kesan nyata termasuk mogok, pengiktirafan negara Palestin serta sekatan terhadap pihak tertentu,” katanya.

Beliau menegaskan kekuatan sebenar misi itu terletak pada keupayaannya menggerakkan kesedaran dan tindakan masyarakat dunia.

Thiago turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan rakyat Malaysia dan rantau Nusantara yang disifatkan amat bermakna kepada perjuangan tersebut.

GSF 2.0 melibatkan lebih 80 kapal dan ribuan peserta daripada lebih 70 negara.