MADRID, 19 Ogos – Ratusan anggota bomba di Madrid mengadakan perhimpunan aman pada Sabtu bagi menuntut penambahbaikan syarat kerja, bayaran gaji yang setimpal serta kelengkapan pemadaman kebakaran yang lebih mencukupi.
- Menuntut penambahbaikan syarat kerja dan bayaran gaji setimpal bagi anggota bomba Madrid.
- Protes termasuk perarakan, suar, sepanduk dan api simbolik untuk menuntut hak keselamatan kerja.
- Menuntut pelarasan umur persaraan kerana risiko kesihatan tinggi akibat tugasan pemadaman kebakaran.
Penunjuk perasaan dilihat berarak sambil membawa suar menyala dan sepanduk bertulis “keselamatan kerja sekarang” serta “bomba hutan, pekerjaan tidak stabil”, sambil melaungkan slogan memperjuangkan hak pekerja bomba hutan.
Sebahagian mereka turut mengadakan demonstrasi menggunakan api sebenar sebagai simbol perjuangan menuntut hak.
Protes tersebut diadakan selepas pihak berkuasa Madrid dilaporkan tidak memberi maklum balas terhadap tuntutan yang dibangkitkan.
Menurut salah seorang anggota bomba, mereka turut menuntut pelarasan umur persaraan kerana ramai menghadapi masalah kesihatan akibat tugasan berisiko tinggi.
Demonstrasi itu diadakan susulan kebakaran hutan besar yang melanda Sepanyol musim panas lalu, yang memusnahkan ribuan hektar kawasan hutan di Galicia, Castilla y León dan Catalonia. – VIORY