Bencana alam: Ethiopia berkabung tiga hari

Ramai masih hilang dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di Ethiopia – Foto AFP

NAIROBI, 14 Mac – Parlimen Ethiopia mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari bagi memperingati mangsa banjir dan tanah runtuh di wilayah Gamo, selatan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Angka korban meningkat kepada 80, ramai masih hilang.
  • Hujan lebat menyebabkan kemusnahan besar, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.
  • WHO mengaktifkan pasukan kecemasan dan menyediakan bekalan perubatan, kit nutrisi serta pembasmian kuman air.

Setakat Jumaat, angka korban bencana alam itu meningkat kepada 80 dengan ramai yang masih hilang.

Hujan lebat berterusan minggu ini di wilayah berkenaan telah menyebabkan kemusnahan besar.

Dalam hantaran yang dimuat naik menerusi Facebook, parlimen mengisytiharkan tempoh berkabung bermula Sabtu bagi tanda penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Dilaporkan terdapat 80 orang disahkan maut dengan operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan.

Sebelum ini, polis mengeluarkan amaran bahawa angka korban boleh melepasi 100 orang.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi catatan di laman X memaklumkan, beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.

“WHO telah segera mengaktifkan pasukan petugas kecemasan da menempatkan pasukan respons pantas ke kawasan terjejas untuk membantu pihak berkuasa kesihatan tempatan, ” katanya.

“Bekalan perubatan kecemasan termasuk kit trauma, peralatan rawatan cirit birit, kit nutrisi kanak-kanak, serta bekalan pembasmian kuman air sedang disediakan untuk penghantaran, ” tambah Ghebreyesus. – AFP