Beijing perketat keselamatan menjelang CPPCC

Dataran Tiananmen/ REUTERS

BEIJING, 4 Mac Langkah keselamatan diperketatkan di ibu negara China, Beijing, menjelang pembukaan Jemaah Mesyuarat Konsultansi Rakyat China (Chinese People’s Political Consultative Conference) (CPPCC) pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis ditempatkan sepanjang Chang’an Avenue dan kawasan sekitar Dataran Tiananmen untuk langkah keselamatan yang diperketatkan.
  • CPPCC berlangsung sebagai sebahagian daripada "Dua Sesi" bersama NPC yang bermula pada 5 Mac.
  • Mesyuarat dijangka fokus kepada pertumbuhan ekonomi, penggunaan domestik, pelaburan teknologi dan Rancangan Lima Tahun ke-15.

Kehadiran polis dilaporkan sepanjang Chang’an Avenue, jalan utama timur-barat di pusat Beijing, dengan Pintu Masuk Kota Larangan dan Dewan Besar Rakyat di Dataran Tiananmen berada dalam jarak pandang.

Persidangan CPPCC merupakan salah satu daripada ‘Dua Sesi’ yang menyaksikan ahli-ahli parlimen dan penasihat politik berkumpul di ibu negara setiap bulan Mac untuk dua siri mesyuarat. Mesyuarat kedua dan lebih penting ialah Kongres Rakyat China (NPC), yang akan bermula pada 5 Mac.

Mesyuarat tahunan parlimen China dijangka menunjukkan toleransi terhadap pertumbuhan ekonomi yang sedikit lebih perlahan tahun ini, sambil membuka ruang untuk usaha lebih besar—walaupun tidak muktamad—bagi menangani kapasiti berlebihan industri dan menyusun semula ekonomi yang bergantung kepada eksport.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan laporan Perdana Menteri, Li Qiang, pada 5 Mac, hari pertama persidangan, akan mengumumkan sasaran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga lima peratus, sambil berikrar meningkatkan penggunaan domestik dan pelaburan dalam industri berteknologi tinggi.

Rancangan Lima Tahun ke-15 China, yang menetapkan objektif strategik dan dasar bagi 2026–2030, dijangka turut diumumkan pada hari sama.

Persidangan CPPCC merupakan badan penasihat utama yang dianggotai pakar, pemimpin perniagaan dan wakil daripada parti politik lain.- REUTERS