
WASHINGTON, 17 Januari – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa laporan mengenai pembatalan hukuman gantung di Iran memainkan peranan penting dalam keputusannya untuk tidak melancarkan serangan ketenteraan terhadap negara itu.
- Trump kata pembatalan lebih 800 hukuman gantung di Iran mempengaruhi keputusannya untuk tidak menyerang negara itu.
- Tindakan keras kerajaan menenangkan protes, tetapi aset tentera AS tetap dipindahkan ke rantau itu.
- Washington mengekalkan semua pilihan termasuk tindakan drastik jika keganasan terhadap AS berterusan.
“Tiada siapa yang memujuk saya. Saya memujuk diri sendiri. Semalam, mereka menjadualkan lebih 800 hukuman gantung. Tiada seorang pun yang digantung. Mereka membatalkan hukuman itu. Ia memberi kesan besar,” kata Trump.
Trump membuat kenyataan itu ketika bercakap dengan media di South Lawn, White House, pada Jumaat.
Menurut kumpulan Hak Asasi Manusia dan penduduk tempatan, protes anti-kerajaan di Iran secara umumnya telah mereda selepas tindakan keras pihak berkuasa, Namun, aset tentera AS terus dipindahkan ke rantau itu bagi menangani ketegangan yang masih berterusan.
Arab Saudi dan Qatar mengadakan rundingan kecemasan dengan Washington awal minggu ini, memberi amaran bahawa campur tangan tentera AS boleh mengganggu kestabilan di Asia Barat.
Israel turut terlibat dalam persiapan diplomatik dan ketenteraan, dengan Ketua Perisikan, David Barnea mengunjungi AS Jumaat lalu bagi membincangkan situasi di Iran.
Pada Khamis, White House memaklumkan pentadbiran Trump masih mengekalkan “semua pilihan di atas meja,” sambil memberi amaran tegas kepada Tehran bahawa keganasan lanjut boleh menyebabkan tindakan drastik dari AS.
Konflik di Iran tercetus pada 28 Disember lalu sebagai protes terhadap kesulitan ekonomi, berkembang menjadi pemberontakan nasional. Menurut kumpulan pembangkang dan seorang pegawai Iran, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pertempuran minggu lalu, konflik domestik paling maut sejak Revolusi Islam 1979. – REUTERS