Bantahan tercetus di Denmark dan Greenland terhadap tuntutan Trump

Penunjuk perasaan menyertai satu demonstrasi bagi menunjukkan sokongan kepada Greenland di Copenhagen. Foto REUTERS

COPENHAGEN, 18 Januari – Penunjuk perasaan di Denmark dan Greenland berhimpun bagi membantah ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menuntut supaya pulau Artik itu diserahkan kepada Amerika Syarikat, selain menggesa agar Greenland dibiarkan menentukan masa depannya sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes besar di Denmark dan Greenland menentang tuntutan Donald Trump supaya Greenland diserahkan kepada Amerika Syarikat.
  • Penunjuk perasaan melaungkan slogan seperti "Greenland is not for sale" dan membawa sepanduk bantahan di Copenhagen.
  • Ratusan hadir di Nuuk, dipimpin Perdana Menteri Greenland, menuntut hak menentukan masa depan sendiri.
  • Isu itu mencetuskan krisis diplomatik antara Amerika Syarikat dan Denmark serta kecaman meluas di Eropah.

Trump sebelum ini menyatakan Greenland penting kepada keselamatan Amerika Syarikat berikutan kedudukan strategiknya serta kekayaan sumber mineral, dan tidak menolak kemungkinan penggunaan kekerasan untuk menguasai pulau berkenaan.

Di Copenhagen, penunjuk perasaan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat sambil melaungkan slogan “Greenland is not for sale” serta membawa sepanduk bertulis “No means No” dan “Hands off Greenland”.

Di ibu negara Greenland, Nuuk, ratusan penunjuk perasaan yang diketuai Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, turut berarak ke Konsulat Amerika Syarikat sambil membawa bendera dan sepanduk bantahan.

Penganjur menganggarkan lebih 20,000 orang menyertai perhimpunan di Copenhagen, namun pihak polis tidak mengeluarkan angka rasmi.

Pengerusi Uagut, sebuah pertubuhan rakyat Greenland di Denmark, Julie Rademacher berkata sokongan yang diterima masyarakat Greenland amat besar dan perhimpunan itu turut membawa mesej kepada masyarakat antarabangsa agar memberi perhatian terhadap isu berkenaan.

Kenyataan berulang Trump mengenai Greenland telah mencetuskan krisis diplomatik antara Amerika Syarikat dan Denmark, yang kedua-duanya merupakan anggota pengasas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), selain menerima kecaman meluas di Eropah.

Greenland yang mempunyai kira-kira 57,000 penduduk telah menikmati tahap autonomi yang ketara sejak 1979, namun masih kekal sebagai sebahagian daripada Denmark yang mengawal dasar pertahanan dan luar negeri wilayah itu.-REUTERS