
CARACAS, 23 Februari – Lebih 200 tahanan politik di Venezuela melancarkan mogok lapar sejak Jumaat malam di penjara Rodeo I bagi menuntut pembebasan mereka di bawah undang-undang pengampunan baru yang didakwa mengecualikan banyak kes tahanan politik.
- Lebih 200 tahanan politik di penjara Rodeo I melancarkan mogok lapar menuntut pembebasan di bawah undang-undang pengampunan.
- Tahanan dikecualikan kerana klausa yang menyingkirkan kes berkaitan anggota tentera, keganasan dan tuduhan serius lain.
- ICRC melawat penjara buat kali pertama dan dibenarkan mendekati fasiliti itu pada hari Ahad.
- Hak asasi dan pembangkang mengkritik undang-undang itu sebagai tidak adil; hanya sebilangan kecil tahanan dilaporkan dibebaskan.
Sekurang-kurangnya 214 tahanan, termasuk rakyat tempatan dan warga asing, mengambil bahagian dalam mogok tersebut, menurut keluarga tahanan.
Para tahanan menyatakan bahawa mereka tidak akan mendapat manfaat daripada undang-undang itu kerana ia mengecualikan kes berkaitan anggota tentera yang merupakan kes paling ramai di fasiliti itu serta dakwaan lain seperti tuduhan “pengganas”.
“Saya menyertai mogok lapar kerana skop undang-undang pengammpunan ini mengecualikan ramai tahanan di sini,” kata salah seorang ahli keluarga tahanan.
Pasukan dari jawatankuasa palang merah Antarabangsa (ICRC) melawat penjara itu pada hari Ahad buat kali pertama dan dibenarkan mendekati penjara tersebut.
Undang-undang pengampunan itu diluluskan oleh Kongres Venezuela pada Khamis lalu, selaras dengan siri reformasi yang digalakkan oleh Amerika Syarikat selepas penangkapan bekas Presiden Nicolás Maduro pada 3 Januari.
Namun, undang-undang itu dikritik oleh kumpulan hak asasi dan pembangkang sebagai tidak adil kerana ia tidak memberi manfaat kepada tahanan yang dituduh terlibat dalam aktiviti berkaitan ketenteraan, keganasan atau kesalahan serius lain.
Menurut laporan badan bukan kerajaan Foro Penal, hanya sejumlah kecil tahanan politik disahkan dibebaskan di bawah undang-undang berkenaan setakat ini, meskipun kerajaan mendakwa ratusan individu telah menjalani proses untuk dilepaskan.
Undang-undang pengampunan itu diperkenalkan oleh pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodríguez selepas perubahan kerajaan yang berlaku awal tahun ini, termasuk tekanan dari luar negara.
Meskipun beberapa tahanan telah dibebaskan, keluarga tahanan masih menuntut agar liputan undang-undang diperluaskan dan klausa pengecualian dihapuskan. – AFP