Bangunan runtuh di Karachi, 16 terkorban termasuk kanak-kanak

Anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa di celah runtuhan bangunan yang musnah akibat satu letupan di Karachi, Pakistan/AFP

KARACHI, 19 Februari– Sekurang-kurangnya 16 individu termasuk wanita dan kanak-kanak maut selepas sebuah bangunan runtuh akibat letupan di bandar raya selatan Karachi, Pakistan, awal pagi Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan di Soldier Bazaar, Karachi menyebabkan bangunan tiga tingkat runtuh awal pagi semasa persiapan bersahur.
  • 16 orang termasuk wanita dan kanak-kanak maut; 13 lagi cedera dan dirawat.
  • Punca letupan belum ditentukan; siasatan awal tidak menolak kebocoran gas.
  • Masalah keselamatan bangunan di Karachi serius, dengan banyak struktur dinyatakan berisiko dan piawaian pembinaan lemah.

Kejadian kira-kira 4.00 pagi waktu tempatan di kawasan Soldier Bazaar itu berlaku ketika keluarga Muslim sedang membuat persiapan bersahur bersempena Ramadan.

Jurucakap agensi penyelamat wilayah, Hassan Khan berkata, selain 16 kematian, seramai 13 lagi mangsa cedera dan kini menerima rawatan.

Bangunan tiga tingkat yang terletak di kawasan penempatan padat itu dilaporkan runtuh selepas satu letupan yang puncanya masih belum dikenal pasti.

Pegawai kanan bandar, Nasrullah Abbasi berkata siasatan awal tidak menolak kemungkinan letupan gas sebagai punca kejadian.

Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan sebab sebenar.

Pada Julai tahun lalu, 27 orang maut manakala 10 lagi cedera selepas sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan Lyari, juga di Karachi.

Kerajaan sebelum ini mengisytiharkan kira-kira 600 bangunan di bandar berkenaan sebagai berbahaya dan berisiko tinggi untuk diduduki.

Runtuhan bangunan kerap berlaku di Pakistan susulan piawaian keselamatan yang lemah, penggunaan bahan binaan berkualiti rendah serta isu pembinaan tidak mengikut spesifikasi, khususnya di Karachi yang dihuni lebih 20 juta penduduk. -AFP