Austria bakal haramkan media sosial untuk golongan bawah 14 tahun

GAMBAR HIASAN./AFP

VIENNA, 27 Mac – Kerajaan gabungan tiga parti Austria pada Jumaat mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan larangan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak di bawah usia 14 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat utama untuk melindungi kanak-kanak daripada algoritma ketagihan dan kandungan berbahaya.
  • Naib Canselor Andreas Babler menegaskan kerajaan akan bertindak menentang kesan buruk media sosial terhadap kesihatan mental belia.
  • Draf perundangan dijangka siap menjelang akhir Jun; kaedah pelaksanaan dan tarikh rasmi masih belum diperincikan.

Langkah itu dicapai menerusi kesepakatan pemimpin parti pemerintah yang menyasarkan perlindungan golongan bawah umur daripada “algoritma ketagihan” serta kandungan berbahaya.

Naib Canselor daripada Parti Sosial Demokratik, Andreas Babler, menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi akan berdiam diri melihat platform berkenaan menjejaskan kesihatan mental generasi muda.

“Kami akan melindungi kanak-kanak dan golongan muda secara tegas daripada kesan buruk media sosial. Risiko penggunaan ini sudah terlalu lama diabaikan, dan sekarang adalah masa untuk bertindak,” kata Babler dalam satu kenyataan.

Ketika ini Austria belum memperincikan kaedah pelaksanaan serta tarikh rasmi ia akan bermula, namun, draf perundangan mengenainya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Jun depan.

Sementara itu, Menteri Muda Digitalisasi, Alexander Proell, memaklumkan bahawa fokus utama adalah untuk memastikan kanak-kanak tidak terus menjadi mangsa ketagihan platform yang sering kali menyebabkan gangguan kesihatan.

Disember lalu, Australia menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan larangan media sosial untuk remaja bawah 16 tahun. – REUTERS