AS tarik 700 pegawai imigresen dari Minnesota

FOTO AFP

MINNEAPOLIS, 5 Februari – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penarikan balik 700 pegawai imigresen dari Minnesota pada Rabu, susulan operasi penguatkuasaan agresif yang mencetuskan bantahan besar-besaran, termasuk insiden tembakan maut terhadap dua penunjuk perasaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump umumkan penarikan 700 pegawai imigresen dari Minnesota selepas operasi penguatkuasaan mencetuskan bantahan besar.
  • Tom Homan berkata operasi di Minneapolis diteruskan dengan kira-kira 2,000 pegawai masih ditempatkan di negeri itu.
  • Pegawai negeri Demokrat anggap pengurangan itu langkah ke arah betul namun mahu operasi besar-besaran dihentikan segera.

Bagaimanapun, pegawai kanan pentadbiran, Tom Homan berkata operasi imigresen di Minneapolis akan diteruskan dengan kira-kira 2,000 pegawai masih ditempatkan di negeri itu.

Datuk Bandar Minneapolis dan Gabenor Minnesota, kedua-duanya daripada Parti Demokrat, menyifatkan langkah pengurangan anggota itu sebagai “satu langkah ke arah yang betul”, namun menggesa kerajaan persekutuan mempercepatkan penamatan operasi imigresen berskala besar di negeri berkenaan.

Homan berkata pengurangan anggota berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berikutan peningkatan kerjasama pihak berkuasa tempatan, termasuk penahanan pendatang tanpa izin secara langsung dari penjara, yang memerlukan kurang kehadiran pegawai di jalanan.

Sebelum operasi besar-besaran dilancarkan, hanya sekitar 150 pegawai imigresen persekutuan ditempatkan di Minnesota.

Mengulas insiden tembakan, Homan menegaskan pentadbiran Trump kekal komited melaksanakan dasar pengusiran besar-besaran, sambil memberi amaran bahawa retorik kebencian terhadap pegawai Imigresen dan Kastam (ICE) boleh mencetuskan lebih banyak keganasan. – AFP