
WASHINGTON, 10 Februari – Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengambil langkah lanjut untuk melonggarkan sekatan terhadap industri minyak Venezuela.
- AS melonggarkan sekatan untuk membenarkan syarikat AS beroperasi dalam industri minyak Venezuela.
- Lesen Perbendaharaan membenarkan transaksi bagi peralatan, teknologi dan aktiviti penerokaan, pembangunan serta pengeluaran minyak.
- Langkah itu disertai lesen untuk operasi pelabuhan, lapangan terbang dan aktiviti berkaitan minyak Venezuela.
Ia sekali gus memperluas usaha membolehkan syarikat AS beroperasi di negara itu selepas kawalan negara ke atas sektor berkenaan dilonggarkan.
Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan lesen yang membenarkan beberapa transaksi melibatkan kerajaan Venezuela serta syarikat minyak milik negara, PDVSA, bagi menyediakan barangan, teknologi dan perisian untuk aktiviti penerokaan, pembangunan atau pengeluaran minyak dan gas di negara itu.
Satu lagi lesen membenarkan transaksi tertentu yang diperlukan bagi operasi pelabuhan dan lapangan terbang, manakala dokumen ketiga membolehkan aktiviti tertentu melibatkan minyak yang berasal dari Venezuela.
Presiden Donald Trump sebelum ini menekan Caracas supaya membuka medan minyaknya kepada pelabur AS selepas menggulingkan seteru sosialisnya, Nicolas Maduro pada 3 Januari.
Pemimpin AS itu menyokong timbalan Maduro, Delcy Rodriguez, untuk mengambil alih kepimpinan dengan syarat memberi akses kepada Washington terhadap rizab minyak terbesar dunia.
Langkah Perbendaharaan itu dibuat ketika Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, dilaporkan merancang melawat Venezuela bagi mengadakan rundingan minyak pada tarikh yang belum ditetapkan.
Disekat Washington sejak 2019, Venezuela memiliki kira-kira satu perlima rizab minyak dunia dan pernah menjadi pembekal utama minyak mentah kepada Amerika Syarikat. – AFP