AS akan gandakan tindakan jika Iran sekat laluan minyak di Selat Hormuz

Antara kapal tangki yang melalui Selat Hormuz / Foto Fail AFP

WASHINGTON, 10 Mac– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran negaranya akan bertindak “20 kali lebih keras” terhadap Iran sekiranya Tehran cuba menyekat aliran minyak melalui Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump menyampaikan amaran menerusi hantaran di platform Truth Social.
  • AS mengancam boleh memusnahkan sasaran yang menjejaskan keupayaan Iran membina semula negara.
  • Selat Hormuz penting kepada ekonomi global kerana laluan itu digunakan untuk penghantaran minyak.
  • Harga minyak susut selepas mencatat paras tertinggi lebih tiga tahun, pasaran melonggarkan kebimbangan gangguan bekalan.

Trump menegaskan, tindakan Iran menutup laluan strategik tersebut akan mencetuskan tindak balas ketenteraan yang jauh lebih besar daripada tindakan yang pernah diambil AS sebelum ini.

“Jika Iran melakukan apa sahaja yang menghentikan aliran minyak di Selat Hormuz, mereka akan dikenakan tindakan oleh AS 20 kali lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Amaran itu disampaikan menerusi hantaran di platform Truth Social pada Isnin.

Beliau turut memberi amaran bahawa AS mampu memusnahkan sasaran tertentu yang boleh menjejaskan keupayaan Iran untuk membina semula negaranya.

Menurut Trump, laluan perkapalan di Selat Hormuz amat penting kepada ekonomi global kerana digunakan oleh banyak negara untuk penghantaran minyak.

Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak dunia susut pada Selasa selepas mencatat paras tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun pada sesi sebelumnya.

Pasaran bertindak balas selepas Trump menyatakan konflik di Asia Barat berkemungkinan berakhir tidak lama lagi.

Ia sekali gus meredakan kebimbangan terhadap gangguan berpanjangan bekalan minyak global. -REUTERS