Anutin diramal terus mendapat mandat terajui Kerajaan Thailand

Foto AFP

BANGKOK, 5 Februari – Anutin Charnvirakul, dijangka kekal sebagai Perdana Menteri Thailand selepas pilihan raya umum hujung minggu ini, tanpa mengira keputusan undian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anutin dijangka terus jadi Perdana Menteri walaupun keputusan pilihan raya, disokong oleh gabungan Parlimen.
  • Beliau dilantik September lalu selepas Paetongtarn digugurkan oleh mahkamah, menegaskan mandat demokratiknya.
  • Tiada parti dijangka dapat majoriti mudah; rundingan pasca pilihan raya akan tentukan gabungan baharu.
  • Nasionalisme dan isu sempadan dengan Kemboja menguatkan sokongan konservatif; Anutin tolak kompromi yang ancam kedaulatan.

Walaupun, parti Bhumjaithai pimpinan Anutin menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya lalu, namun ahli politik konservatif berusia 59 tahun itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada September selepas Paetongtarn Shinawatra, digugurkan jawatannya sebagai Perdana Menteri menerusi perintah mahkamah.

“Saya memegang jawatan ini dengan sokongan majoriti di Parlimen. Jadi ia jelas bersifat demokratik,” kata Anutin kepada AFP ketika berkempen di Bangkok.

Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan Parti Rakyat, kumpulan terbesar di Parlimen dan diramal sekali lagi memenangi pilihan raya itu, mengatasi Bhumjaithai.

Bagaimanapun, tiada parti dijangka memperoleh majoriti mudah dengan penganalisis menjangkakan Anutin akan menerajui Kerajaan hasil rundingan pasca pilihan raya bagi membentuk gabungan baharu.

Rakan gabungan paling berkemungkinan ialah Parti Pheu Thai, yang dijangka menduduki tempat ketiga.

Parti yang diasaskan keluarga Shinawatra, telah mendominasi politik Thailand selama dua dekad, walaupun pengasasnya dan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, kini dipenjarakan.

“Saya tidak bersedia untuk kalah,” kata Anutin sambil menikmati semangkuk mi bersama ahli partinya di kawasan Chinatown, Bangkok.

Gelombang nasionalisme susulan konflik sempadan dengan Kemboja dilihat meningkatkan sokongan terhadap parti berhaluan konservatif itu.

Anutin menegaskan komitmennya mempertahankan kedaulatan negara, sambil menolak sebarang kompromi yang boleh mencetuskan konflik berterusan.- AFP

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan