Anutin arah tindakan tegas terhadap kontraktor susulan dua insiden kren

Kejadian kren runtuh dan menghempap ​​dua kenderaan semasa pembinaan lebuh raya bertingkat di wilayah Samut Sakhon, Thailand, 15 Januari 2026/foto REUTERS

BANGKOK, 15 Januari – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, pada Khamis mengarahkan Kementerian Pengangkutan menamatkan kontrak serta mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat kontraktor yang terlibat dalam dua insiden kren pembinaan maut, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan arah tamat kontrak dan tindakan undang-undang terhadap kontraktor yang dikaitkan dengan dua insiden kren maut.
  • Semua baki kontrak digantung; pasukan jurutera periksa tapak sebelum kerja disambung bagi jamin keselamatan.
  • Jawatankuasa diberi seminggu untuk siasatan punca; kontraktor janji tanggungjawab pampasan dan rawatan.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar, Anutin berkata kerajaan akan mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu, termasuk menyenaraihitamkan syarikat pembinaan berkenaan, bagi melindungi kepentingan awam, memastikan keselamatan dan mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap negara itu.

Tindakan itu diambil susulan kejadian pada pagi Khamis di sebuah tapak pembinaan lebuh raya bertingkat, apabila sebahagian struktur kren runtuh ke atas lebuh raya utama yang menghubungkan Bangkok dan wilayah Samut Sakhon, mengorbankan dua orang dan mencederakan dua yang lain.

Sehari sebelumnya, satu lagi kren pembinaan yang digunakan untuk pembinaan jambatan kereta api berkelajuan tinggi runtuh ke atas sebuah kereta api penumpang yang sedang lalu di wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut negara itu, mengakibatkan 32 orang terbunuh dan 66 cedera.

Menurut Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn, kedua-dua insiden kren maut itu dikaitkan dengan syarikat kontraktor Italian-Thai Development PLC.

Kontrak bagi dua projek terbabit akan ditamatkan, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pada Khamis.

Semua baki kontrak yang masih dipegang syarikat itu turut digantung, katanya sambil menambah bahawa pasukan jurutera dan pegawai pengangkutan dihantar bagi memeriksa tahap keselamatan di setiap tapak sebelum sebarang kerja dibenarkan bersambung.

Beliau berkata kementerian menetapkan tempoh seminggu kepada jawatankuasa pencarian fakta untuk menyelesaikan siasatan punca kejadian runtuhan berkenaan.

Pada Rabu, syarikat pembinaan itu mengeluarkan kenyataan menyampaikan ucapan takziah atas insiden pada hari yang sama serta berjanji untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap bayaran pampasan dan rawatan perubatan. – BERNAMA-XINHUA