
BEIRUT, 21 Februari – Angka kematian akibat serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di Bandar Riyaq dalam Daerah Baalbek, timur Lubnan, meningkat kepada 10 orang manakala lebih 30 lagi cedera mengikut statistik awal, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan di bawah runtuhan selepas serangan yang memusnahkan sebuah bangunan di Riyaq.
- Hizbullah mengumumkan kehilangan pemimpin mereka, Hussein Mohammad Yaghi, susulan serangan itu.
- Serangan udara Israel menyasarkan beberapa kawasan Baalbek, berlaku di tengah pelanggaran gencatan senjata November 2024.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) pada Jumaat malam melaporkan bahawa 10 orang terbunuh dan lebih 30 kecederaan direkodkan dalam jumlah tidak muktamad susulan serangan Israel ke atas sebuah bangunan di Riyaq, sambil menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di bawah runtuhan.
Sementara itu, Kumpulan Hizbullah mengumumkan kematian seorang pemimpinnya, Hussein Mohammad Yaghi, susulan serangan Israel di Riyaq itu.
Terdahulu pada petang Jumaat, jet pejuang Israel melancarkan siri serangan udara ke atas beberapa kawasan di Daerah Baalbek di timur Lubnan. Menurut agensi itu, satu daripada serangan menyasarkan sebuah bangunan di Riyaq sehingga memusnahkan struktur berkenaan sepenuhnya.
Pesawat Israel juga melancarkan dua serangan di dataran bandar Qasr Naba dan Tamnine al-Tahta di Baalbek, serta tiga lagi serangan di kawasan Shaara di sepanjang kaki banjaran gunung timur Lubnan.
Serangan terbaharu itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berulang kali oleh Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada November 2024, yang telah mengorbankan serta mencederakan ratusan rakyat Lubnan. Israel juga terus menduduki lima puncak bukit Lubnan yang dirampas semasa perang terbaharu, selain wilayah Lubnan yang lain. – BERNAMA-ANADOLU