Angka korban serangan AS-Israel di Iran terus meningkat

Sebuah lagi sekolah dibedil dalam serangan AS-Israel / REUTERS

TEHRAN, 5 Mac – Angka kematian akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran terus meningkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Angka korban meningkat kepada 1,045 termasuk kanak-kanak, menurut kenyataan Tehran.
  • Iran kehilangan pemimpinnya Ali Khamenei dan beberapa komander tentera tertinggi sejak serangan bermula.
  • Iran membalas dengan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke sasaran Israel dan aset AS.
  • Serangan udara menggugurkan sebuah sekolah perempuan di Urmia, mencetuskan kemarahan global dan tuduhan jenayah perang.

Tehran dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat Rabu seramai 1,045 orang telah terkorban yang turut melibatkan kanak-kanak.

Sejak serangan bemula Sabtu lalu, Iran telah kehilangan pemimpinnya, Ali Khamenei serta komander-komander tentera tertinggi.

Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kedudukan Israel dan aset-aset AS di seluruh rantau Asia Barat.

Dalam pada itu, AS-Israel telah melancarkan serangan udara ke atas sebuah sekolah perempuan di Urmia, wilayah Azerbaijan Barat pada awal pagi Rabu.

Serangan itu berlaku ketika rakyat Iran masih lagi dalam suasana hiba susulan majlis pengebumian 165 pelajar sekolah rendah dan kakitangan yang terkorban pada Sabtu lalu dalam serangan di Minab, wilayah Hormozgan.

Tindakan menyasarkan kawasan pendidikan dan komuniti awam ini telah mencetuskan kemarahan global dengan banyak pihak menyifatkan ia sebagai pencabulan berat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan satu bentuk jenayah perang yang nyata.-REUTERS