
WASHINGTON, 9 Januari – Amerika Syarikat pada Jumaat mengumumkan bantuan kira-kira $45 juta kepada Thailand dan Kemboja sebagai usaha menyokong dan mengukuhkan perjanjian gencatan senjata kedua-dua negara.
- AS umum bantuan kira-kira $45 juta kepada Thailand dan Kemboja untuk sokong perjanjian gencatan senjata.
- $20 juta disediakan untuk memerangi pengedaran dadah dan penipuan dalam talian, fokus utama di Kemboja.
- $15 juta diperuntukkan untuk bantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran baru-baru ini.
- $10 juta akan digunakan untuk membersihkan kawasan periuk api di zon pertempuran.
- AS menyatakan komitmen terus sokong pelaksanaan Perjanjian Damai Kuala Lumpur demi keamanan dan kestabilan rantau.
Bantuan kewangan itu dimaklumkan pegawai tertinggi Jabatan Negara untuk Asia Timur, Michael DeSombre yang kini dalam siri lawatan ke Thailand dan Kemboja.
Menurut DeSombre, Washington akan menawarkan bantuan $20 juta untuk membantu kedua-dua negara memerangi pengedaran dadah dan penipuan dalam talian terutama di Kemboja.
Amerika juga akan menyalurkan bantuan sebanyak $15 juta untuk membantu rakyat kedua-dua negara yang kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran baru-baru ini serta $10 juta lagi untuk membersihkan kawasan periuk api.
“Amerika Syarikat akan terus menyokong kerajaan Kemboja dan Thailand ketika mereka melaksanakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan membuka jalan untuk kembali kepada keamanan, kemakmuran dan kestabilan untuk rakyat mereka dan rantau ini,” kata DeSombre dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua negara dengan kehadiran Presiden Donald Trump semasa lawatannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 di Kuala Lumpur, Oktober tahun lalu.-AFP