Amaran PBB mengenai potensi ‘penghapusan etnik’ di Gaza dan Tebing Barat

Ahli keluarga meratapi pemergian remaja berusia 14 tahun, Mohand al-Najjar yang terbunuh pada pagi hari pertama Ramadan dalam serangan Israel pada 18 Februari lepas/ AFP

GENEVA, 20 Februari- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai potensi “penghapusan etnik” di Gaza dan Tebing Barat susulan serangan Israel yang semakin meningkat serta pemindahan paksa orang awam Palestin, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB memberi amaran kemungkinan penghapusan etnik di Gaza dan Tebing Barat akibat serangan Israel dan pemindahan paksa orang awam Palestin.
  • Laporan Pesuruhjaya Tinggi mendapati kemusnahan kejiranan, sekatan bantuan dan pemindahan bertujuan mengubah demografi secara kekal.
  • Kebuluran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 463 kematian, termasuk 157 kanak-kanak, dianggap jenayah perang dan mungkin jenayah terhadap kemanusiaan.
  • Di Tebing Barat, penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan dan perobohan rumah terus berlaku tanpa kebertanggungjawaban oleh sistem kehakiman Israel.

Laporan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyatakan kemusnahan kawasan kejiranan, sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan pemindahan paksa dilihat bertujuan mewujudkan perubahan demografi yang berkekalan.

Laporan itu meliputi tempoh November 2024 hingga Oktober 2025 dan mendokumentasikan pembunuhan, kecacatan anggota badan serta penderitaan meluas orang awam sejak 7 Oktober 2023.

Sekurang-kurangnya 463 rakyat Palestin termasuk 157 kanak-kanak maut akibat kebuluran di Gaza yang dikaitkan secara langsung dengan langkah-langkah Israel, menurut laporan itu.

Laporan berkenaan menegaskan penggunaan kebuluran terhadap orang awam merupakan jenayah perang dan boleh dianggap sebagai jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid sekiranya bertujuan memusnahkan sesuatu kumpulan kebangsaan, etnik atau agama.

Di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, tentera Israel melaksanakan penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan serta perobohan rumah secara haram bagi menguatkuasakan kawalan dan penguasaan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Walaupun gencatan senjata dicapai pada 10 Oktober 2025, kekebalan daripada tindakan undang-undang masih berterusan dan badan kehakiman Israel tidak memastikan kebertanggungjawapan terhadap pelanggaran berkenaan. -BERNAMA-QNA