
NEW YORK, 22 Januari – Kerosakan terhadap infrastruktur utama serta sekatan akses telah menjejaskan sebahagian besar bekalan air di Gaza, ketika musim sejuk terus mengancam keselamatan penduduk.
Timbalan jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq, berkata kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air di Gaza kini terjejas berikutan kesukaran membaiki saluran bekalan air Mekorot yang mengalir dari Israel ke Gaza.
Beliau berkata sebahagian paip keluli yang diperlukan bagi kerja pembaikan tidak tersedia di Gaza dan kemasukannya disekat kerana diklasifikasikan sebagai barangan dwiguna.
Farhan turut memaklumkan permohonan bantuan untuk membaiki telaga Safa, satu lagi sumber air penting bagi bandar itu, telah ditolak oleh pihak berkuasa Israel pada Ahad lalu.
Beliau berkata agensi bantuan kini berusaha mencari sumber air alternatif serta meningkatkan penghantaran air menggunakan lori bagi memastikan akses kepada bekalan air bersih dapat dikekalkan.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) sekali lagi menegaskan keperluan untuk memperluas akses kepada barangan kritikal, termasuk bahan yang diklasifikasikan sebagai dwiguna, yang mana tanpanya perkhidmatan asas tidak dapat dipulihkan.
Dalam pada itu, Farhan berkata satu lagi kematian kanak-kanak akibat hipotermia telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza minggu ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan cuaca sejuk bagi musim ini kepada sembilan orang.
OCHA turut menggesa kemasukan bateri, panel solar dan sumber tenaga lain yang diperlukan bagi mewujudkan ruang pemanasan komuniti untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung di khemah susulan kerosakan meluas.- REUTERS