
BEIRUT, 22 Februari – Seramai 5,800 rakyat Lubnan menyertai majlis berbuka puasa yang disifatkan sebagai meja iftar terpanjang dunia iaitu sepanjang tiga setengah kilometer di Beirut.
- Majlis iftar dianjurkan Ajialouna Association menghimpunkan peserta dari pelbagai wilayah Lubnan bagi satu hidangan bersama sempena Ramadan.
- 700 sukarelawan digerakkan untuk menyediakan dan mengagihkan kotak makanan kepada tetamu sebelum waktu berbuka.
- Inisiatif menekankan kebajikan dan solidariti sosial ketika Lubnan berdepan cabaran ekonomi, meskipun rekod dunia belum disahkan.
Program anjuran Ajialouna Association itu menghimpunkan peserta dari selatan Beirut, Sidon, Tripoli, Akkar, Dunya dan Bekaa dalam satu hidangan bersama bersempena Ramadan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam dan dilancarkan di bawah naungan beliau sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kebajikan berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Ajialouna Association, Zina Seif berkata, seramai 700 sukarelawan digerakkan bagi menyediakan serta mengagihkan kotak makanan kepada tetamu sebelum waktu berbuka.
“Terdapat 5,800 orang berkumpul di meja ini merangkumi selatan Beirut, Sidon, Tripoli, Akkar, Dunya dan Bekaa. Tahun ini kami mahu menghimpunkan seluruh rakyat Lubnan di satu meja,” katanya.
Menurut beliau, meja iftar itu dibentang sepanjang tiga setengah kilometer, namun penganjur masih belum mengesahkan sama ada rekod dunia berjaya dipecahkan.
“Keutamaan kami adalah kebajikan. Jika rekod itu dicapai, ia satu nilai tambah. Jika tidak, matlamat kami kekal 100 peratus untuk tujuan amal,” katanya.
Inisiatif itu dilihat sebagai usaha memperkukuh solidariti sosial ketika Lubnan berdepan cabaran ekonomi berpanjangan sepanjang Ramadan – VIORY