
EPUYEN, 3 Februari – Anggota bomba di wilayah Chubut, Argentina, bertungkus-lumus mengawal kebakaran hutan yang telah memusnahkan dianggarkan 50,000 hektar kawasan di wilayah itu.
- Angin kencang menyukarkan usaha pemadaman dan paksa penutupan jalan wilayah sementara.
- Kebakaran memusnahkan kawasan luas, termasuk kira-kira 24,000 hektar di Taman Negara Los Alerces.
- Pengurangan bantuan di bawah pentadbiran presiden Milei disalahkan kerana melemahkan respons kecemasan.
Angin kencang sepanjang hujung minggu itu menyebabkan kebakaran di wilayah berkenaan selain memaksa penutupan sementara dua jalan wilayah serta menyebabkan anggota bomba berdepan kesukaran, malah ada kalanya terpaksa berundur demi keselamatan.
“Hutan yang terlalu tebal menjadikan tugas kami lebih mencabar setiap kali cuba memadamkan kebakaran,” kata anggota bomba Hector Luis Civitareale.
Kebakaran hutan di wilayah Patagonia itu telah memusnahkan kawasan yang lebih dua kali ganda saiz Buenos Aires, sekali gus mencetuskan kritikan terhadap langkah penjimatan bawah pentadbiran Presiden Argentina Javier Milei yang menyaksikan pengurangan ketara bantuan dan sumber sokongan.
Pada 29 Januari lalu, kerajaan mengisytiharkan darurat di wilayah selatan Chubut, Rio Negro, Neuquen dan La Pampa bagi membolehkan peruntukan dana disalurkan.
Menurut Agensi Kecemasan Persekutuan, kebakaran bawah bidang kuasa wilayah kini berjaya dikawal, namun kebakaran di Taman Negara Los Alerces masih merebak, memusnahkan kira-kira 24,000 hektar vegetasi asli dan hutan pain.- REUTERS