
MANILA, 9 Januari – Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Jumaat bagi mengesan 38 orang yang masih hilang dan dikhuatiri terperangkap selepas sebuah tapak pelupusan sampah di bandar Cebu, tengah Filipina, runtuh pada Khamis, mengakibatkan seorang maut dan beberapa lagi cedera, lapor Xinhua.
- Operasi menyelamat dipimpin pihak berkuasa tempatan untuk mengesan 38 orang yang masih hilang selepas runtuhan tapak pelupusan.
- Usaha diganggu oleh struktur keluli besar, sampah lembut, dan risiko pergerakan berterusan di tapak runtuhan.
- Kebimbangan mengenai udara toksik yang boleh membahayakan mangsa yang terperangkap lama di lokasi.
Datuk Bandar Cebu, Nestor Archival, dalam hantaran di media sosial berkata, lebih 100 pekerja berada di tapak pelupusan itu ketika struktur tersebut runtuh pada petang Khamis.
Sehingga awal Jumaat, Archival berkata, 12 orang diselamatkan, manakala satu kematian disahkan.
Beliau mengenal pasti mangsa sebagai seorang wanita berusia 22 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Majlis Bandaraya Cebu, Joel Garganera berkata, usaha menyelamat menjadi perlahan akibat keadaan berbahaya di lokasi kejadian.
“Rangka keluli terlalu besar, sampah pula lembut dan terdapat risiko pergerakan yang berterusan,” kata Garganera kepada media tempatan lewat Khamis.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan serius mengenai udara toksik yang boleh membahayakan sesiapa yang terperangkap terlalu lama.
Tapak pelupusan yang terletak di Kampung Binaliw itu berfungsi sebagai kawasan pembuangan sisa dari bandar Cebu dan perbandaran Consolacion berdekatan.-BERNAMA