
ROM, 11 November – Beberapa sekolah di seluruh Itali diarahkan mengosongkan bangunan pada Rabu susulan ancaman bom palsu yang turut dilaporkan di Britain dan Ireland.
- Media Itali melaporkan 312 sekolah menerima ancaman bom palsu.
- Perdana Menteri Meloni berkata pemeriksaan tidak menemui petunjuk bahaya nyata dan beliau mengadakan mesyuarat kabinet untuk menyiasat.
- Insiden itu sebahagian daripada siri amaran palsu dan serangan siber, mencetuskan kebimbangan mengenai perang hibrid dan ketidakstabilan.
Ancaman serupa di kedua-dua negara itu turut menyebabkan beberapa sekolah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata, pemeriksaan keselamatan yang dijalankan setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai ancaman keselamatan yang nyata.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai satu strategi yang bertujuan mencetuskan panik dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Tegas Meloni, beliau telah mengadakan mesyuarat kabinet bagi membincangkan insiden berkenaan yang kini sedang disiasat secara menyeluruh.
“Setakat ini, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan wujudnya bahaya yang nyata,” katanya.
Media Itali melaporkan sebanyak 312 sekolah telah menerima ancaman berkenaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Itali (ANP), Antonello Giannelli menyifatkan ancaman tersebut sebagai palsu.
Insiden itu berlaku selepas beberapa siri amaran bom palsu dilaporkan sejak beberapa minggu lalu termasuk membabitkan penerbangan di seluruh Eropah serta serangan siber di beberapa negara Eropah, termasuk Itali.
Menteri Luar Itali Antonio Tajani pada Sabtu berkata, beliau turut menjadi sasaran penjenayah siber yang menyebarkan maklumat peribadinya dalam talian susulan sokongan Itali terhadap Ukraine.
Susulan insiden berkenaan, ia turut mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman peperangan hibrid bagi mencetuskan ketidakstabilan serta mengganggu keselamatan masyarakat. -AFP