MEXICO CITY, 11 Oktober -Sekurang-kurangnya 23 orang disahkan terkorban akibat hujan lebat yang melanda sebahagian besar kawasan di Mexico minggu ini.
- Hujan lebat melanda 31 daripada 32 negeri, dengan Veracruz, Queretaro, Hidalgo dan San Luis Potosi paling terjejas.
- Hidalgo catat 16 kematian dan lebih 1,000 rumah terjejas; Puebla lapor lima kematian, 11 orang masih hilang.
- Kerajaan dan tentera dikerah untuk membuka laluan, memulihkan bekalan elektrik dan mengagihkan bantuan.
Pihak berkuasa perlindungan awam Mexico melaporkan, hujan lebat berlaku di 31 daripada 32 negeri di negara itu, dengan kawasan paling terjejas adalah Veracruz di timur, Queretaro dan Hidalgo di tengah, serta San Luis Potosi di bahagian utara-tengah.
Di negeri Hidalgo, 16 kematian direkodkan manakala lebih 1,000 buah rumah dilaporkan terjejas. Lima lagi kematian berlaku di negeri Puebla, dengan 11 orang masih belum ditemui.
Seorang kanak-kanak turut maut di negeri Veracruz, manakala seorang anggota polis terkorban di Queretaro.
“Kami sedang berusaha membantu penduduk, membuka semula laluan jalan raya dan memulihkan bekalan elektrik,” kata Presiden Claudia Sheinbaum menerusi hantaran di platform X.
Pihak tentera juga akan digerakkan bagi membantu mengagihkan bantuan kepada kawasan-kawasan yang terjejas. – AFP