
TEHRAN, 13 Mac – Jurucakap kerajaan Iran memaklumkan yang 216 wanita dan 198 kanak-kanak, berumur di bawah 18 tahun, terkorban susulan serangan terbaru Amerika Syarikat dan Israel ke atas negara itu, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
- Jurucakap kerajaan Fatemeh Mohajerani melaporkan maklumat korban dan kecederaan dalam temu bual video.
- Mangsa termuda ialah seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, terbunuh di Kaunti Robat Karim, Tehran.
- Seorang bayi perempuan berusia empat bulan turut dilaporkan cedera.
- 21 pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dilaporkan rosak sejak 28 Februari dan 12 pekerja sektor kesihatan maut.
Dalam temu bual video lewat Rabu, Fatemeh Mohajerani, jurucakap pentadbiran Presiden Masoud Pezeshkian berkata 11 bayi berumur di bawah lima tahun turut terbunuh dalam serangan AS-Israel terhadap negara itu.
Beliau berkata setakat ini, 216 wanita, 198 kanak-kanak dan 11 bayi yang terkorban dikenal pasti, dengan korban termuda adalah seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang terbunuh di Kaunti Robat Karim, Tehran.
Seorang bayi perempuan berusia empat bulan turut dilaporkan sebagai mangsa termuda yang cedera dalam serangan itu, kata Mohajerani.
Dalam kenyataan lain, jurucakap kerajaan turut mengesahkan kerosakan yang dialami oleh pusat kesihatan dan rawatan di negara itu.
“Sejumlah 21 pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) rosak sejak permulaan perang antara Iran dan AS-Israel pada 28 Februari,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bilangan yang maut di sektor kesihatan dan rawatan negara seramai 12 orang. -BERNAMA