21 penduduk maut dalam serangan kumpulan ‘bandit’ di Nigeria

Sebilangan penduduk kampung yang terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata ‘bandit’ di utara Nigeria pada Jumaat/ X @bmjvermerlleey

NIGERIA, 12 April- Sekurang-kurangnya 21 penduduk kampung terbunuh dalam pertempuran terbaharu dengan kumpulan bersenjata dikenali sebagai “bandit” di negeri Zamfara, utara Nigeria, selepas penduduk didakwa enggan membayar wang perlindungan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis negeri mengesahkan kejadian dan berkata siasatan serta pengumpulan butiran sedang dijalankan.
  • Puluhan penjenayah menaiki kira-kira 80 motosikal menyerbu kampung Bunkasau di daerah Bukkuyum, berlaku berbalas tembakan.
  • Seorang penduduk mendakwa penyerang menunggu sehingga peluru penduduk habis sebelum menyerang habis-habisan.
  • Keganasan bandit bermula dari konflik penggembala-petani, berkembang menjadi penculikan dan rompakan; tentera dikerahkan sejak 2015 namun keganasan berterusan.

Jurucakap polis negeri Zamfara, Yazid Abubakar mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan.

“Kami maklum mengenai keganasan itu tetapi masih menjalankan siasatan dan mengumpul butiran,” katanya.

Dalam kejadian pada Jumaat, puluhan penjenayah bersenjata menaiki kira-kira 80 motosikal dilapor telah menyerbu kampung Bunkasau di daerah Bukkuyum sebelum berbalas tembakan dengan penduduk.

Seorang pemimpin komuniti, Lawwali Umar berkata penduduk sudah tidak lagi mampu menanggung bayaran yang dikenakan kumpulan berkenaan sebelum memutuskan untuk berhenti membayar.

“Penjenayah itu membunuh 21 orang ketika pertempuran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Babuga Ahmad mendakwa kumpulan bersenjata itu menyerang selepas peluru penduduk habis digunakan.

“Mereka menunggu sehingga peluru penduduk habis sebelum menyerang habis-habisan,” ujarnya.

Keganasan kumpulan “bandit” di wilayah itu bermula daripada konflik sumber antara penggembala dan petani sebelum berkembang menjadi rangkaian jenayah bersenjata termasuk penculikan dan rompakan.

Kerajaan Nigeria telah mengerahkan tentera ke Zamfara sejak 2015, namun keganasan dilaporkan masih berterusan walaupun beberapa rundingan damai dan tawaran pengampunan pernah dibuat sebelum ini. -AFP