19 negara, Liga Arab, OIC kutuk tindakan Israel di Tebing Barat

 Foto AFP

JAKARTA, 24 Febuari – Sebanyak 19 negara bersama-sama Liga Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya siri keputusan Israel baru-baru ini yang memperkenalkan peluasan kawalan Israel yang menyalahi undang-undang ke atas Tebing Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • 19 negara, Liga Arab dan OIC mengutuk peluasan kawalan Israel yang menyalahi undang-undang di Tebing Barat.
  • Mereka menegaskan tindakan Israel mengubah realiti di lapangan dan melanjutkan pengilhakan de facto yang tidak boleh diterima.
  • Seruan agar Israel batalkan langkah, hormati kewajipan antarabangsa dan hentikan keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin.
  • Kumpulan itu komited menggunakan langkah undang-undang antarabangsa untuk menentang penempatan haram dan menyokong Penyelesaian Dua Negara.

Dalam kenyataan bersama, menteri-menteri luar negara yang mengambil bahagian dan setiausaha agung kedua-dua pertubuhan itu berkata perubahan tersebut adalah meluas, termasuk pengelasan semula tanah Palestin sebagai apa yang dipanggil ‘tanah negara’ Israel, aktiviti penempatan haram dan pengukuhan pentadbiran Israel.

“Kami memahami bahawa penempatan haram Israel dan keputusan yang dibuat untuk meneruskannya, adalah terang-terangan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini dan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa 2024.

“Keputusan-keputusan terbaharu ini adalah sebahagian daripada tindakan yang jelas bertujuan untuk mengubah realiti di lapangan dan melanjutkan pengilhakan de facto yang tidak boleh diterima,” menurut kenyataan itu, yang disiarkan di platform media sosial rasmi Kementerian Luar Indonesia, pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh menteri luar negara Brazil, Perancis, Denmark, Finland, Iceland, Indonesia, Ireland, Mesir, Jordan, Luxembourg, Norway, Palestin, Portugal, Qatar, Arab Saudi, Slovenia, Sepanyol, Sweden dan Turkiye, serta kedua-dua organisasi tersebut.

Menurut kenyataan itu tindakan Israel menjejaskan usaha berterusan untuk keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan termasuk Pelan 20 Perkara untuk Gaza dan mengancam sebarang prospek integrasi serantau bermakna.

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan menyeru Israel supaya segera membatalkan langkah-langkah terbabit, menghormati kewajipan antarabangsanya dan mengelak daripada tindakan yang akan mengakibatkan perubahan kekal terhadap status perundangan dan pentadbiran Wilayah Palestin yang diduduki secara haram.

“Keputusan-keputusan adalah susulan pengukuhan dasar penempatan Israel yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan kelulusan projek E1 dan pengeluaran tendernya. Tindakan sedemikian ialah serangan yang disengajakan dan langsung terhadap daya maju Negara Palestin dan pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara,” menurut kenyataan itu.

Kumpulan negara dan pertubuhan tersebut mengulangi penolakan mereka terhadap semua langkah yang bertujuan mengubah komposisi demografi, watak dan status Wilayah Palestin yang dijajah sejak 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur dan menentang sebarang bentuk pengilhakan.

Susulan perkembangan membimbangkan di Tebing Barat, mereka turut menyeru Israel supaya menghentikan keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin, termasuk memastikan pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan.

Kumpulan itu juga menegaskan komitmen mereka untuk mengambil langkah konkrit, mengikut undang-undang antarabangsa, untuk menentang peluasan penempatan haram di wilayah Palestin dan dasar serta ancaman pemindahan dan pengilhakan secara paksa.

Mereka juga menggesa Israel agar mengeluarkan serta-merta hasil cukai tertunggak kepada Pihak Berkuasa Palestin, menggesa agar dana itu dipindahkan mengikut Protokol Paris, kerana ia adalah penting untuk penyediaan perkhidmatan asas kepada penduduk Palestin di Gaza dan di Tebing Barat.

Mereka menegaskan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di Asia Barat berdasarkan Penyelesaian Dua Negara, selaras dengan Inisiatif Keamanan Arab dan resolusi PBB yang berkaitan, berdasarkan garis 4 Jun 1967.

“Seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi New York, pengakhiran konflik Israel-Palestin adalah penting demi keamanan, kestabilan dan integrasi serantau. Hanya dengan merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan demokratik, rakyat dan negara di rantau ini dapat hidup bersama,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA