10,000 tentera Ecuador dikerah tangani kartel dadah

Tentera Ecuador memeriksa senjata serangan mereka setibanya di Pangkalan Udara Simon Bolivar, Guayaquil, Ecuador, pada 16 Januari 2026/ Foto AFP

QUITO, 17 Januari – Ecuador mengerahkan 10,000 tentera ke tiga wilayah pesisir bagi membanteras geng dadah yang dikaitkan dengan lonjakan keganasan di negara tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengerahkan 10,000 tentera ke tiga wilayah pesisir untuk membanteras geng dadah.
  • Operasi fokus di Guayas, Manabí dan Los Ríos, dengan pasukan khas dan aset udara digerakkan ke Manta.
  • Keganasan berkaitan kartel Mexico dan Colombia meningkat, mencatat kadar pembunuhan tinggi pada 2025.
  • Kementerian Pertahanan tuntut penjara atau hukuman berat dan arahan operasi tanpa had masa dari Guayaquil.

Kerajaan Presiden Daniel Noboa menegaskan pendekatan kukubesi terhadap jenayah, selepas kadar pembunuhan dan jenayah ganas negara itu mencatat rekod tertinggi.

Ratusan anggota pasukan khas dikerahkan Jumaat bagi memperkukuh operasi keselamatan di wilayah Guayas, Manabi, dan Los Rios, kata Jeneral Tentera Udara Mario Bedoya. Pasukan udara turut dihantar ke pelabuhan utama Manta.

Ecuador, yang terletak di antara pengeluar kokain terbesar dunia, Colombia dan Peru, kini menghadapi keganasan oleh geng yang dikaitkan dengan kartel Mexico dan Colombia.

Pembunuhan dan pertempuran di kawasan awam telah menjadi semakin kerap, dengan kadar 52 pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk pada 2025, bersamaan satu nyawa hilang setiap jam, menurut Organized Crime Observatory, Geneva.

“Penjara atau hukuman berat bagi sesiapa yang mengancam keselamatan negara,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan. Menteri Pertahanan Gian Carlo Loffredo mengarahkan tentera beroperasi tanpa had masa dari Guayaquil, sambil memeriksa pelabuhan yang strategik untuk pengedaran dadah.- AFP