Wany Hasrita kembali memukau dengan ‘Lembayung Tari’

Penyanyi Wany Hasrita kembali memukau dengan ‘Lembayung Tari’

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Penyanyi bersuara lunak Wany Hasrita kembali mencuri perhatian peminat menerusi single terbaharunya berjudul Lembayung Tari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wany Hasrita menyajikan single baru "Lembayung Tari" dengan konsep Pop Etnik yang segar dan puitis.
  • Lagu menggabungkan elemen tradisional dan moden, mencipta suasana magis serta ketenangan emosi.
  • Ditulis oleh Hael Husaini dan Iqie Hugh, dengan susunan muzik etnik kontemporari oleh Iqie Hugh.
  • Dirilis 6 Februari 2026 oleh Wany Hasrita Entertainment, Maison Management dan Universal Music Malaysia.

Tampil dengan konsep Pop Etnik yang segar, lagu ini mengalir lembut, namun penuh dengan nuansa magis, menggabungkan elemen tradisional dan sentuhan moden dalam satu karya yang cukup puitis.

Lembayung Tari bukan sekadar lagu biasa, sebaliknya sebuah pengalaman emosi yang mengajak pendengar menyelami ketenangan jiwa melalui irama dan gerak rasa yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Hasil ciptaan dua nama besar industri, Hael Husaini dan Iqie Hugh, lagu ini membawa kelainan tersendiri buat penggemar muzik tempatan.

Susunan muzik oleh Iqie Hugh menonjolkan elemen etnik kontemporari dengan sentuhan misteri yang halus, menjadikan keseluruhan karya ini terasa unik dan memikat.

Dari segi penceritaan, Lembayung Tari mengangkat detik magis waktu senja simbol peralihan cahaya yang melambangkan ketenangan, keindahan serta penyembuhan jiwa.

Metafora tarian dan lembayung cahaya yang diketengahkan menggambarkan bagaimana seni mampu menjadi bahasa perasaan dan penawar emosi tanpa perlu dilafazkan.

Menurut Wany, lagu ini cukup dekat di hatinya kerana ia memberi ruang untuk pendengar “berhenti seketika” daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik dan seni.

Diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia, Lembayung Tari kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama bermula 6 Februari 2026.

Bagi peminat setia Wany Hasrita, karya terbaharu ini pastinya menjadi pilihan untuk mengisi waktu santai sambil menghayati keindahan senja dalam alunan muzik yang menenangkan