Stamina Ella gegar stadium, bertenaga luar biasa di usia 59 Tahun

Ella gegar SNBJ hampir tiga jam, stamina Ratu Rock masih luar biasa

KUALA LUMPUR, 15 Februari – Ratu Rock negara, Ella, 59, membuktikan usia bukan penghalang apabila tampil penuh bertenaga dan memukau ribuan penonton pada Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ella, 59, tampil bertenaga memukau ribuan penonton sepanjang hampir tiga jam konsert SNBJ.
  • Pementasan bertaraf antarabangsa dengan susun atur pentas dan visual memukau mempertingkat pengalaman penonton.
  • Kejutan termasuk aksi bas dua tingkat bersama atlet kebangsaan dan duet istimewa dengan artis ternama.

Dengan stamina luar biasa,dan aura pentas yang tiada tandingan, Ella menghiburkan peminat selama hampir tiga jam menerusi 30 buah lagu, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai legenda rock tanah air.

Konsert anjuran Hitman Solutions itu tampil gah dengan pementasan bertaraf antarabangsa. Susun atur pentas yang luar biasa dan visual memukau menjadikan persembahan malam tersebut antara yang paling berbeza dan diingati, sekali gus membuktikan kehebatan penganjur dalam menganjurkan konsert berskala besar.

Antara momen paling mencuri perhatian apabila Ella membuat kejutan menaiki bas dua tingkat mengelilingi stadium sambil mendendangkan lagu ikonik Standing In The Eyes Of The World. Lebih istimewa, bas tersebut turut membawa empat atlet kebangsaan iaitu Nicol David, Farah Ann Abdul Hadi, Zyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Momen tersebut mengimbau kembali detik lagu berkenaan diperkenalkan pada Sukan Komanwel 1998. Selepas mengelilingi stadium, mereka bersama-sama naik ke pentas, disambut sorakan gemuruh penonton. Nicol menyifatkan Ella sebagai penyanyi hebat yang bukan sahaja menawan Malaysia, malah melangkaui persada dunia.

Konsert turut dimeriahkan dengan kemunculan istimewa Amy Search menerusi duet lagu Dua Insan Bercinta. Ella juga mengubat rindu peminat apabila menampilkan semula kumpulan Ella & The Boys yang pernah melonjakkan namanya.

Malam yang buktikan Ella masih tiada tandingan

Tidak ketinggalan, Tam Spider membuat kemunculan khas menerusi lagu Dunia Batinku, menandakan duet pertama mereka selepas 20 tahun. Ella turut berduet bersama Joe Flizzow (Bayangan), Amir Masdi (Baldu Biru) dan Sam Bunkface (Istimewah).

Sepanjang malam, Ella mendendangkan lagu-lagu malar segar termasuk Rama-Rama, Kesal, Raguku, Bolero, Sembilu, Pedih, Rindu, Permata Pemotong Permata, Nuri dan Sepi Sekuntum Mawar Merah, sebelum menutup tirai konsert penuh gemilang dengan lagu Gemilang.

Malam penuh bersejarah itu jelas membuktikan satu perkara stamina dan karisma Ella masih utuh, terus membara sebagai Ratu Rock yang tiada tandingan.