Sakura Band realisasi impian lagu raya pertama

RINGKASAN BERITA AI
  • Lagu menggabungkan elemen nostalgia dengan sentuhan muzik moden, menggambarkan keterujaan pulang beraya bersama keluarga.
  • Proses penciptaan berjalan spontan dan santai, fokus pada emosi serta keseronokan persiapan pulang ke kampung.
  • Susunan mengekalkan identiti bunyi Sakura Band, menambah elemen tradisional Melayu untuk kemeriahan Syawal; single diterbitkan dan boleh distrim.

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Selepas agak lama tidak tampil dengan karya baharu, kumpulan pop rock tempatan Sakura Band kembali mencuri perhatian apabila merealisasikan impian mereka menghasilkan lagu raya pertama berjudul Raya Di Kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Single tersebut menampilkan gabungan elemen nostalgia dengan sentuhan muzik moden sekali gus memberikan warna segar kepada lagu raya yang bertemakan kegembiraan pulang ke kampung halaman.

Menurut anggota kumpulan itu, Melley Matius atau Mell, menghasilkan lagu raya sememangnya sudah lama menjadi antara impian Sakura Band sejak awal penubuhan mereka.

“Lagu raya memang antara ‘wishlist’ Sakura Band. Lagu ini bertemakan balik kampung kerana kami mahu menggambarkan perasaan teruja untuk pulang beraya bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata idea lagu tersebut tercetus daripada inspirasi lagu klasik Balik Kampung nyanyian Sudirman Arshad, namun kumpulan itu mahu membawakan pendekatan lebih segar dengan susunan muzik masa kini tanpa menghilangkan elemen nostalgia yang sinonim dengan Aidilfitri.

Proses penciptaan lagu berkenaan disifatkan berjalan secara spontan dan santai, dengan fokus utama diberikan kepada emosi serta keseronokan yang ingin dirasai pendengar ketika membuat persiapan pulang ke kampung.

Dari segi susunan muzik, Raya Di Kampung turut mengekalkan identiti bunyi Sakura Band yang pernah diperkenalkan menerusi single terdahulu mereka, Polaroid, selain menyelitkan elemen tradisional Melayu bagi menambah kemeriahan suasana Syawal.

Melalui lagu ini, kumpulan itu berharap pendengar dapat merasai kegembiraan dan keterujaan pulang ke desa untuk menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang, termasuk mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung.

“Bagi kami, lagu ini satu pencapaian besar kerana akhirnya Sakura Band mempunyai lagu raya sendiri. Ia sangat bermakna dalam perjalanan kerjaya kami,” jelas Mell.

Single Raya Di Kampung merupakan hasil ciptaan Nawfas dan Melley Matius dengan lirik ditulis sepenuhnya oleh Melley. Lagu itu diterbitkan menerusi kerjasama Sakura Band bersama beberapa penerbit muzik termasuk Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari, manakala proses adunan serta mastering disempurnakan oleh Koh Kpro.

Single terbitan Seventeen Eleven Music itu kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama.