
KUALA LUMPUR, 3 Februari – Lebih 5,000 penonton hadir pada Konsert Pentas Barbarik Volume 2 yang diadakan di Mega Star Arena, Bukit Bintang, di sini, pada Sabtu lalu.
- Persembahan drum battle oleh Ainol, Black dan Jojet memukau penonton.
- Kolaborasi gitaris Cromok Karl dengan JoBranko serta duet pemain bes Eddie dan Rozaimi menarik perhatian.
- Muss umumkan konsert Barbarik di Singapura 22 Mac dan konsert gabungan dengan Cromok 27 Jun di Petaling Jaya.
Pada segmen pembukaan konsert, ia digegarkan dengan persembahan bertenaga gabungan tiga pemain dram iaitu Ainol yang juga anggota kumpulan Barbarik bersama dua ‘otai’, Black dan Jojet yang juga bekas anggota kumpulan Wings.
Mereka bertiga mempamerkan kemahiran masing-masing pada sesi ‘drum battle’ dan berjaya memukau penonton.
Konsert Pentas Barbarik Volume 2 tersebut turut mempersembahkan pemain gitar Cromok, Karl sebagai pemuzik undangan yang berkolaborasi dengan gitaris Barbarik, JoBranko untuk lagu Golok Kayu.
Selain itu bekas pemain bes kumpulan Wings, Eddie turut digandingkan bersama pemain bes Barbarik, Rozaimi.
Dengan vokal mantap vokalis Barbarik, Muss, sebanyak 18 lagu dipersembahkan pada konsert tersebut, antaranya termasuk Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Hati Sulam Lain, Enigma, Mayang Sulit, Krisis Di Pertengahan Hidup, Peluru Cokelat dan Keris Tak Ada Sarung.
Bekas vokalis Wings, Mel turut dijemput dan mendendangkan lagu Lena Diulit Intan dan Ranjang Mawar.
Dalam pada itu, Muss turut mengumumkan konsert Barbarik akan diadakan di Singapura pada 22 Mac ini disusuli konsert gabungan Barbarik dan Cromok pada 27 Jun depan di Petaling Jaya.