Kanak-kanak istimewa sumber kekuatan DJ Dave

Datuk Irwan Shah Abdullah, atau lebih dikenali sebagai DJ Dave, bersama kanak-kanak istimewa dan warga emas memeriahkan Majlis Sambutan Hari Jadi Ke-78 beliau di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort baru-baru ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Bukan kek berlapis-lapis atau hadiah mewah menjadi pengisi usia, tetapi tawa dan senyuman insan kecil yang sering dilupakan masyarakat ialah sesuatu yang istimewa setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • DJ Dave meraikan kanak-kanak istimewa setiap ulang tahun selama lebih 55 tahun sebagai sumber semangat.
  • Majlis sambutan disertai kira-kira 70 kanak-kanak dari rumah kebajikan dengan pelbagai aktiviti.
  • Pengalaman bersama kanak-kanak istimewa mengilhamkan kerjaya nyanyian dan kepedulian terhadap veteran seni.
  • Beliau berhasrat menyediakan sokongan jangka panjang untuk penggiat seni veteran melalui yayasan.

Pada usia 78 tahun, DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah terus mengekalkan tradisi berkenaan sejak lebih lima dekad untuk berkongsi kegembiraan bersama dengan kanak-kanak istimewa yang disifatkannya sebagai sumber semangat dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.

“Inilah satu-satunya perkara yang memberi saya semangat untuk terus hidup dan berkongsi kegembiraan bersama-sama mereka. Setiap kali melihat kegembiraan pada wajah kanak-kanak ini, saya sendiri berasa lebih bersyukur dengan kehidupan,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya di sini, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 70 kanak-kanak istimewa dari beberapa buah rumah kebajikan di Lembah Klang diraikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan nyanyian, memotong kek, aktiviti menaiki kuda dan pemberian hadiah.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Ingin Bersua dan Menjelang Hari Raya itu berkata tradisi berkenaan tidak pernah terhenti sepanjang 55 tahun, kecuali sekali kira-kira 15 tahun lepas apabila terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan sebelum diteruskan semula.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dorongan untuk terus konsisten meraikan kanak-kanak istimewa bermula sebelum beliau mencipta nama sebagai penyanyi, selepas menerima galakan daripada seorang kanak-kanak istimewa yang meminta beliau menyanyikan lagu Hindustan dalam bahasa Melayu.

“Ketika saya mula menyanyi dahulu, saya masih bekerja di pejabat Pos Malaysia dan menyanyi sekadar hobi tanpa sebarang rakaman. Namun, permintaan seorang kanak-kanak istimewa yang mahu saya menyanyikan lagu Hindustan dalam bahasa Melayu memberikan dorongan untuk saya mencuba rakaman dan seterusnya bertekad untuk lebih serius dalam bidang seni suara,” katanya.

DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air berkata pengalaman bersama kanak-kanak istimewa turut membentuk keprihatinannya terhadap nasib penggiat seni veteran, dan beliau akan terus menyumbang mengikut kemampuan selagi diberi kesihatan.

Beliau berkata impiannya adalah untuk menyediakan sokongan jangka panjang kepada penggiat seni veteran yang banyak berjasa, termasuk dari segi bantuan kebajikan seperti tempat tinggal dan kewangan, sekiranya yayasan berkenaan mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi.

“Saya menyimpan hasrat untuk mewujudkan sumber pendapatan pasif supaya nasib penggiat seni veteran terbela. Usaha ke arah itu telah dilakukan sejak lebih 14 tahun, namun masih belum dapat direalisasikan, mungkin kalau bukan saya, diharap pengganti saya pada masa depan dapat meneruskan usaha ini,” katanya.- BERNAMA