‘ICE OUT’ – Artis Grammy sampaikan mesej politik di karpet merah

Billie Eilish mengenakanpin bertulis “ICE OUT” sebagai tanda bantahan terhadap Agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam Amerika Syarikat (ICE) / REUTERS

LOS ANGELES, 1 Februari – Artis dan pemuzik yang mendapat pencalonan Anugerah Grammy membawa rasa bangga, kegembiraan serta mesej politik ketika menghadiri acara karpet merah majlis anugerah berprestij itu, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Artis memakai pin "ICE OUT" sebagai protes terhadap dasar dan tindakan Agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam AS.
  • Peserta Grammy menggunakan platform untuk menyampaikan mesej politik dan mencerminkan peristiwa semasa melalui seni.
  • Kerjasama muzik dan filem menyerlah di karpet merah, dengan penulis lagu dan pemuzik menyokong runut bunyi filem.
  • Beberapa calon menekankan tema kekeluargaan, penyembuhan dan keterbukaan industri muzik terhadap penciptaan serta akses.

Beberapa calon dan tetamu dilihat mengenakan pin bertulis “ICE OUT” sebagai tanda bantahan terhadap Agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam Amerika Syarikat (ICE).

Calon kategori Penulis Lagu Terbaik (Bukan Klasikal), Laura Veltz, menegaskan kepentingan golongan pemuzik merakam dan mencerminkan peristiwa semasa serta suasana global menerusi karya seni mereka.

Gabungan dunia muzik dan filem turut mewarnai karpet merah apabila penulis lagu Diane Warren dan pemuzik Eric Gales, yang terlibat dalam runut bunyi filem Sinners, hadir memeriahkan acara.

Warren, yang sebelum ini lantang mengkritik keputusan penganjur Oscar hanya membenarkan dua calon Lagu Terbaik dipersembahkan secara langsung sehingga mengetepikan lagunya Dear Me, berkata beliau memilih untuk meraikan pencalonan lagu tersebut.

Sementara itu, Gales menyifatkan sebarang kemenangan buat pasukan Sinners sebagai “kemenangan untuk semua”, sambil menegaskan hubungan kekeluargaan yang erat dalam pasukan itu.

Tema kekeluargaan turut dikongsi Martha Wainwright dan Carla Patullo. Album Patullo berjudul Nomadica yang mengetengahkan tema memori dan penyembuhan, serta menampilkan Wainwright menerusi lagu Fly Under, dicalonkan bagi kategori Album New Age, Ambient atau Chant Terbaik pada Grammy tahun ini.

Ramai pemuzik yang ditemui turut menyentuh perubahan landskap industri muzik yang disifatkan semakin terbuka, sekali gus menjadikan penghasilan dan akses kepada muzik lebih mudah dan meluas.-REUTERS