
LOS ANGELES, 1 Februari – Penyanyi rap Puerto Rico, Bad Bunny mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Grammy bagi kategori Album Terbaik menerusi album Debí Tirar Más Fotos, sekali gus menjadi album berbahasa Sepanyol pertama meraih anugerah tertinggi itu pada malam anugerah muzik berprestij berkenaan.
- Bad Bunny menang Album Terbaik dengan Debí Tirar Más Fotos, jadi album berbahasa Sepanyol pertama memenangi trofi itu.
- Billie Eilish dan Finneas menang Lagu Terbaik untuk Wildflower, dianggap kemenangan mengejutkan.
- Kendrick Lamar menang Rakaman Terbaik Tahun Ini dengan Luther bersama SZA, menambah anugerah kelima malam itu.
- Persaingan sengit melibatkan artis besar seperti Lady Gaga, Sabrina Carpenter, Justin Bieber dan lain lain.
Bintang berusia 31 tahun itu menewaskan beberapa nama besar termasuk Kendrick Lamar, Lady Gaga, Sabrina Carpenter, penyanyi R&B Leon Thomas, Tyler, the Creator, duo hip-hop Clipse (Pusha T dan Malice) serta Justin Bieber.
Sementara itu, Billie Eilish bersama abangnya, Finneas O’Connell turut meraih kemenangan apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Terbaik yang mengiktiraf penulisan lagu menerusi karya mereka berjudul Wildflower.
Kemenangan itu disifatkan sebagai kejutan memandangkan persaingan sengit dalam kategori berkenaan yang turut menampilkan Bad Bunny, Lady Gaga, Kendrick Lamar, Doechii, Sabrina Carpenter, Rose dan Bruno Mars, serta lagu Golden daripada filem animasi Netflix KPop Demon Hunters yang sebelum ini diramal memenangi anugerah tersebut.
Dalam pada itu, Kendrick Lamar terus menambah koleksi anugerah apabila memenangi kategori Rakaman Terbaik Tahun Ini menerusi single Luther yang menampilkan penyanyi R&B, SZA, sekali gus menjadi kemenangan kelimanya pada malam tersebut.
Lagu berkenaan menewaskan pencabar lain termasuk Bad Bunny, Lady Gaga, Sabrina Carpenter, Doechii, Billie Eilish, Chappell Roan serta APT. hasil kolaborasi Rose dan Bruno Mars.-AFP
