Wabak denggi reda? Masyarakat perlu terus waspada

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Waspada berterusan walau kes menurun; kawalan reaktif tidak mencukupi, kejayaan bukan alasan untuk kurang berjaga-jaga.
  • Pemimpin kesihatan perlu turun padang, beri motivasi dan teladan untuk memastikan barisan hadapan kekal agresif dalam pencegahan.
  • Libatkan masyarakat dan ikon tempatan, galak kempen ringkas seperti 15 saat di siaran langsung untuk menyegarkan kesedaran awam.
  • Kukuhkan saringan, pemantauan serotip dan penggunaan pemodelan iklim serta data epidemiologi untuk ramalan awal dan intervensi.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan peningkatan mendadak dan ketara kes denggi serta kematian akibat denggi pada tahun 2026 berbanding tempoh sama pada tahun 2025.

Setakat 9 Julai 2026, sebanyak 42,848 k es denggi telah direkodkan, berbanding 31,790 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 34.8 peratus.

Kematian akibat denggi pula meningkat sebanyak 78.9 peratus, daripada 19 kepada 34 kematian. Situasi sedemikian, iaitu corak turun dan naik mengikut garis masa dalam sesuatu tempoh, merupakan suatu keadaan yang telah dicerap sejak beberapa tempoh terdahulu.

Malah, KKM menyatakan bahawa peningkatan semasa ini selari dengan pola epidemiologi denggi yang bersifat kitaran, dengan peningkatan besar kes boleh berlaku pada sela masa tertentu. Kaedah pencegahan yang sedang dan telah dijalankan terbukti membantu menurunkan jumlah kes.

Demikian juga strategi rawatan yang lebih intensif serta menyeluruh bagi memastikan semua kes denggi, termasuk kes yang disyaki, dapat dikenal pasti dan dirawat sebaik-baiknya, terutama bagi mengurangkan risiko komplikasi dan kematian.

Namun, situasi yang kita lalui ialah sikap dan pendekatan ‘less vigilant’ setiap kali kitaran kes atau wabak denggi dapat dikawal.

Ini membawa maksud bahawa sebahagian mereka yang berada di barisan hadapan mungkin berada dalam keadaan kurang berjaga-jaga apabila kes denggi mulai jarang didiagnosis atau dinotifikasi untuk tujuan kawalan.

Keadaan ini boleh memberi ruang kepada situasi di mana kes-kes baharu yang mula berlaku tidak dikesan atau tidak ditangani pada peringkat awal melalui saluran pengesanan, notifikasi dan rawatan yang sepatutnya.

Dalam erti kata lain, kejayaan mengawal kes tidak seharusnya ditafsirkan sebagai isyarat bahawa kita sudah boleh mengurangkan tahap kewaspadaan.

Di samping itu, tidak dinafikan bahawa perubahan epidemiologi, termasuk perubahan dominasi serotip virus denggi di lapangan, turut perlu diberi perhatian.

Perubahan serotip boleh menyebabkan sebahagian masyarakat mempunyai tahap imuniti yang lebih rendah terhadap serotip yang sedang dominan, sekali gus mewujudkan kelompok individu yang lebih rentan kepada jangkitan.

Pola perubahan ekologi setempat dengan peningkatan jumlah penempatan, pembukaan kawasan pembinaan serta cuaca yang tidak menentu pula menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes dan seterusnya meningkatkan risiko penularan dalam komuniti.

Faktor-faktor ini menjadikan usaha kawalan denggi tidak boleh bergantung kepada tindakan ketika kes telah meningkat sahaja, sebaliknya memerlukan kewaspadaan dan tindakan pencegahan yang berterusan.

Justeru, fokus pencegahan semasa perlu digerakkan untuk mengembalikan motivasi agar semua petugas barisan hadapan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Situasi ini memerlukan dokongan daripada pengurus kesihatan tertinggi untuk kerap turun padang, memberikan motivasi serta saling menggerakkan kesedaran bahawa kita sebenarnya tidak mempunyai waktu untuk benar-benar ‘lega daripada wabak’, meskipun data menunjukkan situasi yang bertambah baik.

Ikon teladan dalam pengurusan kesihatan sangat penting kerana ia memberikan suntikan semangat kepada mereka yang biasanya ‘kepenatan’ setiap kali tindakan agresif dilaksanakan dalam program kawalan wabak.

Kepimpinan yang turun ke lapangan, memberikan penghargaan dan menunjukkan teladan secara konsisten boleh membantu memastikan semangat pencegahan tidak hanya muncul ketika wabak sedang memuncak.

Dalam masa yang sama, kita turut mengharapkan sokongan dan kerjasama masyarakat dalam menggerakkan inisiatif secara sukarela untuk memutuskan rangkaian jangkitan di peringkat komuniti.

Sudah pasti ikon atau pempengaruh yang dipandang sebagai ‘nama besar’ dalam mengubah sesuatu persepsi dalam komuniti mempunyai kelebihan untuk menggerakkan usaha komuniti dalam semua program kawalan dan pencegahan denggi.

Antara potensi yang dapat dimanfaatkan ialah menyediakan sekurang-kurangnya 15 saat tempoh kempen kesedaran mengenai jangkitan denggi dalam setiap sesi ‘live’ yang mereka laksanakan di media sosial yang berkaitan.

Mungkin 15 saat itu kelihatan kecil, tetapi jika disampaikan secara konsisten oleh individu yang mempunyai capaian besar kepada masyarakat, mesej tersebut boleh menjadi peringatan yang berulang dan membantu menyegarkan kembali kesedaran awam.

Ikon komuniti, agamawan, selebriti mahupun ahli sukan merupakan antara mereka yang disyorkan ke hadapan untuk membantu Kementerian dalam usaha sentiasa menyegarkan motivasi dan dedikasi masyarakat agar sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan jangkitan, sekali gus membantu mencegah berlakunya kes-kes baharu.

Di pihak institusi penyelidikan, sebahagian peruntukan untuk aktiviti saringan dan pemantauan perlu dipergiatkan bagi melihat pola serotip virus denggi serta mengaplikasikan teknologi pemodelan dan ramalan bagi membantu menjangkakan peningkatan kes atau potensi wabak.

Pendekatan sedemikian boleh membantu memperkukuhkan strategi pencegahan primer dan membolehkan tindakan diambil lebih awal.

Penyelidikan di Malaysia sendiri telah menunjukkan potensi penggunaan model yang menggabungkan faktor iklim dan data epidemiologi dalam usaha memperbaiki ramalan denggi.

Dalam masa yang sama, usaha penyelidikan perlu digerakkan untuk manfaat masyarakat sejagat dan bukan semata-mata mengejar ranking untuk berbangga-bangga antara satu sama lain.

Nilai sebenar penyelidikan kesihatan awam akhirnya perlu dilihat pada sejauh mana ilmu yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada tindakan, dasar dan intervensi yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sudah sampai masanya sifat patriotik terhadap negara, kita integrasikan dengan usaha pencegahan penyakit, terutama dalam usaha kita mendepani denggi.

Sempena bulan kemerdekaan negara, semangat cintakan negara perlu mendahului semua usaha dan menjadi pencetus dedikasi yang terus segar dalam membantu negara mengurangkan ancaman denggi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof Madya Dr Malina Osman
Pensyarah
Jabatan Kesihatan Komuniti
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
E-mel: malinaosman@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.