
SAUDARA PENGARANG
- Vibe Coding guna model AI generatif terjemah arahan bahasa semula jadi kepada kod komputer secara automatik.
- Mempercepat pembangunan aplikasi, jimat kos, dan membolehkan prototaip diuji pantas oleh usahawan dan organisasi.
- Mendemokrasikan pengaturcaraan; sesiapa boleh terlibat namun pengaturcara masih diperlukan untuk semak dan perbaiki kod.
- Kekangan termasuk ralat, isu keselamatan dan prestasi; keperluan kejuruteraan prom dan pengujian kekal penting.
Bayangkan anda mempunyai idea untuk membangunkan aplikasi tetapi tidak pernah mempelajari bahasa pengaturcaraan komputer. Kini, perkara itu bukan lagi mustahil.
Melalui konsep “Vibe Coding”, teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu menterjemah idea yang dinyatakan dalam bahasa biasa kepada pengekodan komputer yang berfungsi, sekali gus mengubah landskap pembangunan perisian kepada sesuatu yang lebih pantas, inklusif dan tanpa sempadan.
AI Cetus Revolusi Dunia Pengekodan Komputer dan Pengaturcaraan Perisian
Perkembangan pesat teknologi AI telah membuka lembaran baharu dalam dunia pembangunan perisian dan aplikasi menerusi satu pendekatan yang membolehkan individu membina aplikasi atau menulis kod hanya dengan memberikan arahan dalam bahasa harian.
Fenomena ini bukan sahaja mengubah cara perisian dibangunkan, malah berpotensi mendemokrasikan pengaturcaraan kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang teknikal.
“Vibe Coding” merujuk kepada pendekatan pembangunan perisian yang memanfaatkan model AI generatif untuk menterjemah idea, arahan dan keperluan pengguna kepada kod komputer secara automatik.
Berbeza dengan kaedah pengaturcaraan konvensional memerlukan penguasaan bahasa seperti Python, Java atau C++, teknologi “Vibe Coding” ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan AI menggunakan bahasa semula jadi.
AI kemudiannya menjana, mengubah suai dan menambah baik kod berdasarkan maklum balas pengguna secara berterusan.
Kemunculan pendekatan baharu ini memberi impak besar kepada pelbagai sektor termasuk pendidikan, perniagaan, keusahawanan, industri kreatif dan lain-lainnya.
Bagi pelajar misalnya, dapat menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah dan pembangunan idea tanpa terlalu dibatasi oleh aspek teknikal penulisan kod.
Manakala, usahawan serta syarikat pemula berupaya menghasilkan prototaip aplikasi dengan lebih pantas, menjimatkan kos pembangunan dan mempercepat proses inovasi bagi tujuan pengembangan dan keperluan perniagaan.
Pada masa sama, pembangun perisian profesional juga dapat meningkatkan produktiviti dengan mengautomasikan tugasan rutin, sekali gus memberi lebih ruang kepada pembangunan ciri yang lebih kompleks dan strategik.
Senario ini selari dengan kebanjiran aplikasi digital yang menjadi nadi kehidupan moden dan memainkan peranan penting dalam hampir setiap aspek kehidupan hari ini.
Daripada berkomunikasi melalui e-mel dan media sosial, membuat tempahan penerbangan, membeli-belah dalam talian, mengurus kewangan, sehinggalah mendapatkan maklumat hanya di hujung jari dan semuanya bergantung kepada perisian dan teknologi digital.
Namun, di sebalik kemudahan ini, setiap aplikasi yang digunakan meluas dalam kehidupan moden, sebenarnya melalui proses pembangunan yang kompleks kerana pembangun perlu melakukan analisa keperluan, reka bentuk sistem, penulisan kod atau pengekodan, pengujian dan penyelenggaraan memerlukan kepakaran teknikal tinggi.
Jika suatu ketika dahulu pembangunan perisian hanya dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang teknologi maklumat serta menguasai bahasa pengaturcaraan, landskap tersebut sedang mengalami perubahan ketara.
Kemajuan pesat dalam bidang AI generatif, khususnya melalui penggunaan Large Language Models (LLM), telah membuka peluang baharu kepada masyarakat untuk membangunkan aplikasi dengan lebih mudah.
“Vibe Coding” diperkenalkan awal tahun 2025 oleh seorang tokoh bidang AI, Andrej Karpathy yang pernah menduduki kerusi Pengarah AI di Tesla dan bekas penyelidik di OpenAI dan beliau mencetuskan fenomena dalam bidang pembangunan perisian dan aplikasi.
Teknologi ini memudahkan sesuatu perisian atau aplikasi dibangunkan menggunakan AI dengan pengguna hanya menyampaikan idea atau keperluan dalam bahasa harian.
Sistem AI akan melakukan pengekodan dan membina aplikasi secara automatik. Secara ringkasnya, jika dahulu manusia perlu memahami bahasa komputer, kini komputer semakin mampu memahami bahasa manusia.
Pendekatan ini mengubah sepenuhnya paradigma pembangunan perisian atau aplikasi daripada kaedah “pengekodan atau menulis kod” kepada hanya “memberikan arahan”.
Ini kerana, pengguna tidak lagi perlu memahami sintaks dan bahasa pengaturcaraan yang rumit, sebaliknya hanya perlu menjelaskan apa yang ingin dibangunkan dan apa kehendak pengguna.
Sebagai contoh mudah, seorang usahawan mahu membangunkan aplikasi tempahan bilik. Sebelum ini, beliau perlu mendapatkan khidmat pembangun sistem, menyediakan spesifikasi teknikal dan menunggu berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum aplikasi dapat dibangunkan.
Kini, melalui “Vibe Coding”, beliau hanya perlu menaip arahan seperti: “Bangunkan aplikasi tempahan hotel yang membolehkan pelanggan mencari bilik, membuat tempahan, membuat pembayaran dalam talian dan menerima pengesahan melalui e-mel.”
Dalam masa beberapa minit sahaja, AI mampu menghasilkan prototaip aplikasi yang boleh terus diuji dan ditambah baik. Perubahan ini memperlihatkan bagaimana AI sedang merevolusikan industri pembangunan perisian dengan meningkatkan kelajuan, kecekapan dan keupayaan inovasi pada tahap yang belum pernah dicapai sebelum ini.
Impak “Vibe Coding” Kepada Bidang Pembangunan Perisian dan Aplikasi
Salah satu impak terbesar “Vibe Coding” adalah memberi peluang kepada lebih ramai individu terlibat dalam pembangunan teknologi. Jika dahulu, hanya graduan Teknologi Maklumat (IT) atau Sains Komputer mampu menghasilkan perisian dan aplikasi, kini, sesiapa sahaja boleh membangunkan penyelesaian digital mereka sendiri.
Fenomena ini dikenali sebagai pendemokrasian pembangunan perisian apabila akses kepada pembangunan teknologi lebih terbuka dan inklusif. Dengan kata lain, sesiapa sahaja yang mempunyai idea, kreativiti dan keinginan untuk menyelesaikan masalah boleh menghasilkan aplikasi tanpa perlu menjadi pengaturcara profesional.
Selain itu, “Vibe Coding” menawarkan pelbagai manfaat kepada individu dan organisasi. Antaranya ialah mempercepatkan pembangunan aplikasi, mengurangkan kos pembangunan serta meningkatkan produktiviti.
Pengguna juga boleh menghasilkan prototaip dengan cepat untuk menguji idea sebelum melabur dalam pembangunan sistem yang lebih kompleks.
Selain itu, pendekatan ini membolehkan pengguna memberi tumpuan kepada reka bentuk penyelesaian, carta alir proses dan pengalaman pengguna, manakala AI membantu menghasilkan kod yang diperlukan.
Bagi organisasi, “Vibe Coding” berpotensi mempercepatkan transformasi digital dan inovasi kerana proses pembangunan sistem menjadi lebih mudah serta fleksibel.
Walaupun menawarkan pelbagai kelebihan, “Vibe Coding” bukanlah satu penyelesaian yang sempurna. Kod yang dijana oleh AI masih boleh mengandungi ralat, kelemahan keselamatan, masalah prestasi atau fungsi yang tidak memenuhi keperluan sebenar pengguna.
Dalam sesetengah keadaan, AI juga mungkin menghasilkan kod yang kelihatan betul tetapi tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Oleh sebab itu, pengetahuan asas mengenai pengaturcaraan, pengujian sistem dan keselamatan siber masih diperlukan untuk memastikan aplikasi yang dibangunkan berkualiti dan selamat digunakan.
Oleh itu, seseorang pengaturcara profesional tetap memainkan peranan penting sebagai penyemak, pengesah dan penambah baik kepada kod yang dijana oleh AI.
Bagi institusi pendidikan pula, kemunculan teknologi “Vibe Coding” menuntut satu penyesuaian pendekatan pengajaran dibuat supaya tidak hanya tertumpu kepada proses pengekodan semata-mata.
Sebaliknya, pelajar boleh dilatih untuk membangunkan kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritis, reka bentuk sistem dan keupayaan berinteraksi dengan AI secara berkesan.
Pada masa hadapan, kebolehan menghasilkan arahan yang jelas kepada AI atau kejuruteraan prom (prompt engineering) mungkin menjadi kemahiran yang sama penting seperti kemahiran pengaturcaraan tradisional hari ini. Ini kerana, “Vibe Coding” telah menetapkan satu permulaan era baharu dalam dunia pembangunan perisian dan aplikasi.
Dalam dunia yang semakin dipacu AI, kejayaan masa depan mungkin bukan lagi ditentukan oleh siapa yang paling mahir menulis kod, tetapi siapa yang paling kreatif menterjemahkan idea kepada penyelesaian digital yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Mazni Omar
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Pengkomputeran
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mazni@uum.edu.my